Semangat juang tinggi faktor Binder dipilih

Binder bakal menggalas cabaran Petronas Sprinta Racing dalam kelas Moto3 musim depan.
Binder bakal menggalas cabaran Petronas Sprinta Racing dalam kelas Moto3 musim depan.
A
A
A

SEMANGAT juang tinggi serta prinsip tidak mengenal putus asa pelumba Afrika Selatan, Darryn Binder dalam beberapa perlumbaan kategori Moto3 Kejohanan Motosikal Grand Prix (GP) musim ini menjadi faktor utama Petronas Sprinta Racing menawarkan kontrak setahun kepadanya.

Prinsipal Petronas Sprinta Racing, Datuk Razlan Razali mendedahkan, pengurusan pasukan tertarik dengan sikap pelumba pasukan CIP Green Power itu yang sentiasa berjuang meraih kedudukan podium pada perlumbaan sebenar walaupun gagal meraih keputusan positif pada sesi kelayakan.

Binder seorang pelumba yang berusaha gigih untuk meraih kedudukan podium walaupun berhadapan pelbagai halangan dan akhirnya dia mendapat dua penyudah podioum tahun ini, kata beliau.

Dengan ciri-ciri yang ada pada beliau, kita fikir dia memang bagus untuk pasukan kita, dan kita membuat keputusan awal untuk ambil perkhidmatan beliau pada tahun hadapan kerana saya yakin ramai pasukan berminat mendapatkan beliau," katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Beliau menegaskan pengurusan pasukan hanya menawarkan kontrak setahun kepada pelumba berusia 22 tahun itu, susulan prestasi tidak menentu yang dipamerkan dua pelumbanya, John McPhee dari Scotland dan pelumba negara Khairul Idham Pawi (KIP) musim ini.

Razlan berkata, menerusi perjanjian yang dicapai kedua-dua pihak, mereka mempunyai pilihan untuk memberi peluang kepada Binder beraksi ddalam kelas Moto pada musim 2022, namun pelumba berkenaan perlu meraih kedudukan tiga pelumba terbaik pada musim hadapan.

Katanya, penyertaan Binder dalam kategori Moto2 pada musim 2022, turut bergantung kepada prestasi keseluruhan dua pelumba Moto2 Petronas Sprinta Racing Xavi Vierge dari Sepanyol dan pelumba Great Britain Jake Dixon pada musim hadapan.

"Saingan MotoGP kita perbaharui kontrak pelumba sedia ada (seperti pelumba Itali Franco Morbidelli) setiap dua tahun sekali. Moto3 dan Moto2 hanya setahun sekali kerana sekiranya ada pelumba tempatan berpotensi, kita akan cuba serapkan mereka ke dalam pasukan kita untuk musim 2022," jelas Razlan.

Artikel Berkaitan:

Bulan lepas, Petronas Sprinta Racing mengumumkan penyertaan Binder ke dalam pasukan itu pada saingan Moto3 2021 dengan kontrak setahun.

Binder yang menyertai saingan Moto3 pada 2015 akan mengisi tempat pelumba negara, Khairul Idham Pawi yang tidak disambung kontrak susulan prestasi hambar dalam saingan Moto3 pada musim ini.

Binder mempamerkan aksi konsisten pada musim ini setelah meraih kemenangan pada GP Catalunya di Litar Barcelona-Catalunya, Sepanyol, selain meraih tempat kedua pada GP Aragon di Litar Aragon, Sepanyol, 18 Oktober lepas. - Bernama