X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 29 Mei 2022

23 kesalahan sepanjang PRK Cameron Highlands

Sidang media berkaitan salah laku pilihan raya itu diadakan di ibu pejabat Bersih 2.0, di sini, hari ini.
A
A

PETALING JAYA – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) merekodkan beberapa salah laku dan kesalahan pada PRK Cameron Highlands yang membabitkan permainan sentimen bangsa, agama dan identiti politik.

Pengerusi Bersih 2.0, Thomas Fann berkata, kesalahan-kesalahan etika pilihan raya ini dilakukan oleh calon dan pimpinan parti politik bahkan, ia sangat mengganggu proses demokrasi dalam perjalanan sesebuah pilihan raya.

“Dalam sesi ceramah di Kampung Keledek pada 18 Januari lalu, Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki telah dilaporkan berkata, sekiranya DAP menang ia akan memudaratkan Melayu dan Islam. Manakala Ketua Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi mendakwa, DAP akan meminda Islam sebagai agama rasmi.

ARTIKEL BERKAITAN: BN menang, Ramli cipta sejarah Orang Asli jadi MP

“Malah, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu rakaman video berkata, jika orang bukan Islam ingin selamat, jangan undi DAP, undilah calon Muslim, semua orang akan selamat, Muslim selamat, bukan Muslim pun akan selamat.

“Calon DAP, M Manogaran pula dijadikan subjek kempen kebencian apabila dikaitkan dengan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim menerusi edaran risalah grafik sewaktu musim kempen PRK tersebut,” katanya ketika sidang media di pejabat Bersih 2.0 di sini, hari ini.

Tidak hanya menyalahkan pembangkang, Thomas turut mengkritik pemimpin PH yang menyalahgunakan aset kerajaan untuk tujuan berkempen.

“Bersih 2.0 juga mempersoalkan tindakan pemimpin PH yang menggunakan pacuan empat roda Jabatan Perhutanan Pahang untuk hadir berkempen di Cameron Highlands.

“Bukan itu saja, sebelum dan ketika tempoh berkempen di Parlimen itu juga, kita mendapati ramai pula menteri datang untuk ‘lawatan kerja’ di Cameron Highlands,” dedahnya.

Beliau turut mempertikai tindakan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan sumbangan bantuan sekolah rendah kepada 647 murid di Jelai dan juga mengeluarkan 22 permit tanah hutan simpan pada tempoh berkempen sedang berlangsung.

Susulan itu menurut Thomas lagi, Bersih 2.0 mendesak polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan sisatan segera berkaitan semua kesalahan-kesalahan pilihan raya yang berlaku di Cameron Highlands dalam usaha menuju pengundian yang bersih dan adil.

Dalam perkembangan lain, Thomas menyatakan, hasil pemerhatian Bersih 2.0 telah merekodkan 23 kes yang berkaitan dengan salah laku dan kesalahan pilihan raya yang dilakukan oleh parti-parti politik.

Katanya, berdasarkan rekod kesalahan tersebut PH mencatatkan lima kesalahan, BN pula 14 kesalahan, manakala Pas dua kesalahan dan lain-lain masing-masing dua kesalahan menjadikan kesalahan terkumpul sebanyak 23 kes.

“Antara kesalahan pilihan raya yang dilakukan iaitu beli undi dan pengaruh tidak wajar melibatkan PH, dua kes, penjamuan empat kes dilakukan oleh BN, penggunaan sumber kerajaan PH satu kes, BN dua kes.

“Selain itu, mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan antara kaum dan agama, BN satu kes, Pas dua kes, lain-lain satu kes. Berkempen pada hari mengundi dua dilakukan oleh PH manakala tujuh dilakukan oleh BN,” jelasnya.

Tambahnya, diharapkan selepas ini SPR akan mengeluarkan garis panduan yang wajib dipatuhi setiap parti dalam setiap siri pilihan raya agar kesalahan sama tidak akan berulang.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!