X

Kindly register in order to view this article
!

Kempen boikot Arab Saudi jejaskan ekonomi Turki

Pasar raya di negara Arab Saudi dikatakan tidak lagi menjual produk dari Turki berikutan kempen memboikot barangan dari negara tersebut. - Foto AFP
A
A

HUBUNGAN antara Arab Saudi dengan Turki kini memasuki episod baharu apabila ia melibatkan sektor komersial selepas permusuhan antara kedua-dua buah negara yang berlaku sejak beberapa tahun lalu kini semakin tegang.

Dua negara itu sebelum ini telah lama bersaing untuk menjadi 'juara' dalam dunia Islam tetapi hubungan antara Riyadh dan Ankara menjadi semakin merosot berikutan pelbagai isu yang berlaku di Asia Barat.

Antara isu tersebut ialah sokongan Turki ke atas tunjuk perasaan Arab Spring yang menyebabkan beberapa pemimpin di Asia Barat terpaksa meletakkan jawatan dan digulingkan.

Ia juga diburukkan lagi dengan tindakan Arab Saudi bersama Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Mesir untuk memboikot Qatar pada Jun 2017 atas dakwaan ia menyokong kumpulan dilabelkan sebagai pengganas iaitu Ikhwanul Muslimin yang ditubuhkan di Mesir dan juga Iran.

Berikutan boikot itu, Arab Saudi mengharamkan pesawat dan kapal dari Qatar menggunakan ruang udara dan lautnya serta menutup sempadannya dengan negara tersebut.

Ketegangan kemudian meningkat akibat pembunuhan wartawan Arab Saudi, Jamal Khashoggi di Pejabat Konsulat negara itu di Istanbul, Turki pada 2 Oktober 2018 ketika beliau mahu mendapatkan dokumen untuk perkahwinan dengan tunangnya, Hatice Cengiz yang merupakan warga Turki.

Mayat Khashogi yang merupakan pengkritik Arab Saudi itu dikerat-kerat oleh 15 lelaki Arab Saudi di dalam bangunan tersebut.

September lalu, lapan orang defendan dihukum penjara antara tujuh hingga 20 tahun oleh mahkamah Arab Saudi dalam kes pembunuhan tersebut.

Namun, mahkamah Turki masih membicarakan kes pembunuhan wartawan itu dengan melibatkan 20 suspek tanpa kehadiran mereka sehingga menyebabkan tunangnya turut menyaman Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman.

Baru-baru ini, terdapat kempen bagi mengehadkan hubungan komersial terjalin dengan Turki sehingga Pengerusi Majlis Dewan Peniagaan dan Perdagangan Arab Saudi, Ajlan Al-Ajlan dan disokong beberapa individu dilaporkan mendesak hubungan perdagangan kedua-dua buah negara ditamatkan.

Kini, para pengeksport tekstil dan lain-lain barangan mendakwa pihak kastam Arab Saudi melambat-lambatkan kelulusan dan pemeriksaan sekali gus memberi amaran percubaan untuk menghalang barangan import dari negara tersebut mungkin mengganggu rantaian bekalan barangan berkenaan.

Gambar fail menunjukkan seorang wanita membeli barangan di sebuah pasar raya di Riyadh. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan seorang wanita membeli barangan di sebuah pasar raya di Riyadh. - Foto AFP

Pada minggu ini, selepas terdapat desakan daripada Al-Ajlan untuk "memboikot apa sahaja (barangan) Turki", pelbagai rangkaian pasar raya di Arab Saudi mengumumkan ia akan menghentikan import dan penjualan produk dari negara tersebut.

Namun, di sebuah pasar raya, seorang koresponden AFP menyaksikan beberapa jurujual mengosongkan rak-rak jualan produk dari Turki seperti kopi, coklat dan balang-balang jeruk sayur-sayuran.

Turki pula kini menghadapi kesan yang teruk akibat pandemik Covid-19 dan masalah penurunan nilai mata wangnya

Dalam pada itu, satu kenyataan bersama yang dikeluarkan pada 10 Oktober lalu oleh lapan buah syarikat gergasi Turki mendakwa syarikat-syarikat Arab Saudi telah dipaksa kerajaan beraja itu menandatangani surat supaya tidak mengimport barangan dari Turki.

Terdapat juga dakwaan bahawa para kontraktor Turki dipinggirkan daripada bidaan tender utama Arab Saudi.

Boikot itu turut melibatkan sektor pelancongan Turki.

Arab Saudi merupakan rakan eksport yang ke-15 terbesar Turki.

Turki mengeksport tekstil, kimia, perabot dan besi dan ia adalah produk-produk utama dari negara beraja itu.

Antara tahun 2015 dan 2017, eksport Turki ke Arab Saudi melepasi import negara beraja itu.

Berdasarkan itu, adalah dipercayai bahawa memboikot produk Turki akan memberi kesan kepada ekonomi negara itu.

Turki kini mengalami masalah nilai penurunan matawangnya di pasaran dan ekonomi negara itu turut terjejas alibat pandemik Covid-19. - Foto AFP
Turki kini mengalami masalah nilai penurunan matawangnya di pasaran dan ekonomi negara itu turut terjejas alibat pandemik Covid-19. - Foto AFP

Dalam pada itu, eksport Arab Saudi ke Turki antara Januari dan Ogos tahun ini berjumlah AS$1.1 bilion (RM4.56 bilion) berbanding AS$1.44 bilion (RM5.97 bilion) bagi tempoh yang sama iaitu penurunan sebanyak AS$340 juta (RM1.4 bilion).

Bimbang dengan boikot yang berlaku ketika ini dan kemungkinan Turki membuat laporan kepada Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO), kerajaan Arab Saudi menafikan berlakunya sekatan terhadap produk dari negara tersebut.

Sebaliknya, pihak berkuasa negara beraja itu berkata, rakyat Arab Saudi yang mengetuai kempen boikot berkenaan.

Jika tindakan boikot itu dilaksanakan secara rasmi, ia bukan hanya merugikan Turki tetapi pelbagai pihak termasuk pengeksport barangan di Arab Saudi. - Agensi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!