Mahkamah tolak permohonan task force Kuil Sri Maha Mariamman

Inkues kematian Muhammad Adib akan berlangsung selama 44 hari bermula 11 Februari depan dengan lebih 30 saksi akan tampil memberi keterangan.
A
A

SHAH ALAM - Mahkamah Koroner menolak permohonan Jawatankuasa Menyelamat Kuil Sri Maha Mariamman (task force kuil) dan sebahagian penganut Hindu untuk menyertai pihak-pihak yang berkepentingan dalam inkuiri kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kasim.

Keputusan itu dibuat Koroner Rofiah Mohamad selepas kedua-dua pihak tersebut selesai berhujah.

Dalam keputusannya, Rofiah memutuskan, pihak-pihak tersebut tidak mempunyai kepentingan yang nyata, substansif dan munasabah.

"Selaku Koroner saya tidak boleh keluar daripada sempadan yang digariskan iaitu Seksyen 337 Kanun Tatacara Jenayah.

ARTIKEL BERKAITAN: Prosiding berlangsung 44 hari, 30 saksi

"Berdasarkan terma dan identiti peranan Jawatankuasa Menyelamat Kuil agak tersasar daripada rujukan," katanya.

Menurutnya, begitu juga dengan sebahagian penganut Hindu yang tidak diketahui identitinya dan tidak menunjukkan kepentingan untuk turut serta dalam inkues

"Setelah mempertimbangkan, mahkamah menolak permohonan kedua-dua pihak," katanya.

Jawatankuasa kuil diwakili peguam M Visvanathan manakala Siti Zabedah Kassim mewakili sebahagian penganut Hindu.

Pada prosiding itu, Rofiah turut memutuskan Majlis Peguam yang diwakili peguam, Roger Chan Weng Keng sebagai peguam pemerhati.

Inkues kematian Muhammad Adib akan berlangsung selama 44 hari bermula 11 Februari depan dengan lebih 30 saksi akan tampil memberi keterangan.

Muhammad Adib, 24, yang bertugas sebagai anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN).

Jenazah Muhammad Adib dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kariah Masjid As-Saadah di Kampung Tebengau, Kuala Kedah.

Sehingga kini polis menahan lebih 30 individu bagi membantu siasatan.

Pada 27 Disember lalu, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, inkues akan diadakan bagi menentukan punca kematian Muhammad Adib.

Katanya, Peguam Negara, Tommy Thomas mengarahkan majistret menjalankan prosiding itu mengikut Seksyen 339(1) Kanun Acara Jenayah.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia