Umno perlu terima Pelan Anti Rasuah Nasional

Noor Azleen Ambros
Noor Azleen Ambros
A
A
A

JOHOR BAHRU - Umno sebagai sebuah parti politik paling lama dan besar dalam negara, perlu menerima Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023 dengan matang, jujur dan secara terbuka.

Ketua Pemuda Umno Bahagian Pasir Gudang, Noor Azleen Ambros berkata, Umno perlu berjiwa besar untuk menerima seterusnya meneliti setiap cadangan serta langkah penambahbaikan yang dikemukakan dalam pelan itu.

"Khususnya yang melibatkan sektor politik. Adaptasi kepada pelan ini adalah peluang serta kesempatan terbaik dalam usaha Umno untuk mengubah tanggapan dan memperbetulkan persepsi umum terhadap nilai dan amalan parti selama ini.

"Peluang ini juga sebenarnya wajar dimanfaatkan parti untuk seterusnya meyakinkan rakyat bahawa Umno kini dalam proses untuk berubah dan akan kembali tampil dengan wajah baharu melalui penekanan kepada soal nilai, etika dan integriti sebagai naratif utama yang mendasari parti," katanya di sini hari ini.

Noor Azleen berkata, Pemuda Umno Bahagian Pasir Gudang turut mencadangkan agar sebuah jawatankuasa kerja di peringkat pusat dan negeri ditubuhkan.

Katanya, cadangan itu untuk mengadaptasi saranan-saranan yang terkandung dalam NACP tersebut.

Selain itu, beliau berkata, Pemuda Umno Bahagian Pasir Gudang juga mencadangkan agar saranan yang terkandung dalam pelan itu wajar diambil kira dan dijadikan sebahagian daripada input kepada proses pindaan Perlembagaan Umno.

"Memandangkan Umno juga kini dalam proses mendapatkan maklum balas dan pandangan untuk meminda beberapa perkara dan fasal dalam perlembagaan parti.

Artikel Berkaitan:

"Jawatankuasa Perlembagaan dan Peraturan Umno dipengerusikan oleh Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin," katanya.

Terdahulu, kerajaan melancarkan NACP yang bermatlamatkan untuk memperkukuh aspek integriti merentasi semua bidang di Malaysia.

Pelan itu mencadangkan beberapa strategi berkaitan penerapan nilai-nilai integriti dan langkah-langkah penambahbaikan berkaitan pembanterasan gejala rasuah, dengan menjadikan politik sebagai salah satu daripada sektor utamanya.