Anak muda Bateq pun bercinta melalui Facebook

 Orang asli Bateq di Gua Musang perlahan-lahan menerima arus pembangunan.
Orang asli Bateq di Gua Musang perlahan-lahan menerima arus pembangunan.
A
A
A

[LAPORAN KHAS] Kesediaan masyarakat orang asli Bateq di Gua Musang, Kelantan menerima arus modenisasi merupakan faktor penting dalam memastikan komuniti tersebut tidak ketinggalan daripada arus kemajuan negara.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Paloh, Amran Ariffin, orang asli Bateq yang dikenali bersifat pemalu kini lebih terbuka dalam mendepani gelombang pembangunan.

Tambah Amran, perubahan sikap yang positif itu dapat dilihat terutamanya di penempatan orang asli Bateq di Aring 5, namun di Kuala Koh penduduk di sana masih sedikit malu serta mengelak untuk bertemu orang luar.

Amran Ariffin - FOTO MD ADIB MD YUNOS
Amran Ariffin - FOTO MD ADIB MD YUNOS

“Perubahan berlaku disebabkan usaha dibuat pihak kerajaan khususnya Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan pemimpin-pemimpin setempat yang sering berkunjung dan bergaul dengan masyarakat orang asli.

“Penduduk di Aring 5, misalnya, mula berminat hadir ke sekolah khas dan kelas-kelas fardu ain yang disediakan pihak kerajaan selain turut menyertai pelbagai program lain yang dianjurkan,” kata Amran kepada Sinar Harian pada majlis khas di Kampung Orang Asli Aring 5 di sini baru-baru ini.

Kelas Khas Murid Orang Asli Bateq (Prokhas Aring 5) turut diwujudkan dalam usaha memastikan kanak-kanak tidak ketinggalan dalam aspek pendidikan. - FOTO MD ADIB MD YUNOS
Kelas Khas Murid Orang Asli Bateq (Prokhas Aring 5) turut diwujudkan dalam usaha memastikan kanak-kanak tidak ketinggalan dalam aspek pendidikan. - FOTO MD ADIB MD YUNOS

Untuk rekod, majoriti orang asli di Paloh terdiri daripada suku Bateq yang mendiami tiga penempatan utama iaitu di Aring 5, Kuala Koh dan Pasir Linggi.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, menurut Amran, pembangunan fizikal seperti membina rumah senang untuk dibuat, namun untuk memberdayakan masyarakat orang asli ia tidak boleh lari daripada proses pemikiran dan pendidikan.

“Kesediaan orang asi Bateq menerima proses pendidikan merupakan langkah terbaik untuk memajukan orang asli agar dapat bersaing dengan masyarakat luar.

“Untuk memajukan sesuatu kaum dan bangsa terutamanya di Gua Musang asas utamanya adalah pendidikan,” katanya.

Kesediaan orang asi Bateq menerima proses pendidikan merupakan langkah terbaik untuk memajukan orang asli agar dapat bersaing dengan masyarakat luar. - FOTO MD ADIB MD YUNOS
Kesediaan orang asi Bateq menerima proses pendidikan merupakan langkah terbaik untuk memajukan orang asli agar dapat bersaing dengan masyarakat luar. - FOTO MD ADIB MD YUNOS

Tambah beliau, istimewanya orang asli Bateq selain bersedia menerima modenisasi mereka juga terbuka menerima agama Islam sebagai pegangan hidup.

Dalam pada itu, Tok Penghulu Bateq Kampung Aring 5, Raina Anjang berkata, orang asli Bateq sudah mula meninggalkan cara hidup nomad dan mendiami kampung itu sejak lebih 20 tahun lalu.

Katanya, orang asli Bateq di situ juga sudah menerima kemudahan elektrik, malah membayar sendiri bil elektrik setiap bulan.

Raina Anjang - FOTO MD ADIB MD YUNOS
Raina Anjang - FOTO MD ADIB MD YUNOS

“Pada masa ini, orang asli Bateq di sini juga sudah mempunyai televisyen, perkhidmatan Astro dan mesin basuh di rumah. Malah ramai yang menggunakan telefon bimbit dan memiliki motosikal serta kereta.

“Bahkan, jangan terkejut ada anak muda Bateq yang berkahwin dengan pasangan dari suku asli lain di Terengganu, Pahang atau Perak selepas berkenalan di Facebook,” kongsi Raina yang turut memiliki tablet sendiri.

Bagaimanapun, Raina mengakui adalah menjadi impian beliau untuk melihat anak-anak orang asli Bateq berjaya sehingga ke menara gading seperti anak muda orang asli suku lain.

Kemudahan sukan seperti gelanggang takraw dan padang bola yang masih dalam pembinaan turut disediakan di Kampung Orang Asli Bateq Aring-5. - FOTO MD ADIB MD YUNOS
Kemudahan sukan seperti gelanggang takraw dan padang bola yang masih dalam pembinaan turut disediakan di Kampung Orang Asli Bateq Aring-5. - FOTO MD ADIB MD YUNOS

“Mungkin disebabkan oleh faktor geografi dan rasa rendah diri, kebanyakan anak muda hanya belajar di peringkat sekolah rendah serta menengah.

“Saya berharap pada masa depan, lebih ramai anak orang asli Bateq berjaya dalam pendidikan, memiliki kerjaya profesional dan dapat menyumbang kembali kepada kemajuan masyarakat Bateq,” katanya.