Penswastaan bola sepak buka lembaran baharu

No Image Caption
A
A
A

SELESAI sudah segala urusan penswastaan pasukan bagi menyertai saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2021 apabila semua pasukan telah pun menghantar segala dokumen yang diperlukan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengikut tarikh yang ditetapkan.

Tambah membanggakan apabila kesemua pasukan berkenaan turut menerima kelulusan bagi mendapatkan lesen kelab kebangsaan yang sekali gus mengesahkan mereka boleh beraksi dalam saingan Liga-M 2021 kelak.

Secara keseluruhannya, setelah selesai proses penswastaan dan pelesenan, ia turut mengesahkan kesemua pasukan kini tidak lagi bernaung di bawah nama Persatuan Bola Sepak (FA) tetapi bernaung di bawah nama Kelab Bola Sepak (FC).

Justeru, senario itu dilihat memberikan dimensi baharu dalam arena bola sepak tanah air terutamanya apabila proses penswastaan berkenaan yang mana ia telah mengubah status FA kepada FC.

Ia sekali gus memisahkan secara total pentadbiran serta pengurusan lama yang kini dikendalikan sepenuhnya oleh ‘pemilik baharu’ kelab berkenaan tanpa penglibatan daripada pihak pentadbiran dan pengurusan terdahulu.

Dengan pemisahan berkenaan maka segala tanggungjawab kini akan dipikul oleh pemilik baharu secara keseluruhannya atau dalam erti kata lain segala hal ehwal pasukan kini berada di bawah tanggungjawab ‘orang baharu.’

Tidak kiralah dari segi pengurusan, pentadbiran malah daripada sebesar-besar perkara sehinggalah kepada sekecil-kecil perkara kini telah bertukar tangan sepenuhnya selaras dengan pemisahan itu.

Sebagai contoh, sebelum ini pada era persatuan atau ‘FA’ ada banyak pasukan yang dilihat masih bergantung kepada perolehan atau dana daripada kerajaan negeri bagi membantu dari segi kewangan.

Artikel Berkaitan:

Justeru, tidak hairanlah jika beberapa masalah timbul seperti isu tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan berikutan daripada kekurangan dana yang diperoleh hingga menyukarkan pembayaran gaji dibuat.

Kesan

Perkara berkenaan sudah pasti memberikan kesan khususnya kepada pegawai serta pemain yang berkhidmat secara profesional dan bergantung sepenuhnya kepada dana berkenaan.

Jadi diharap segala permasalahan sedemikian tidak lagi berulang setelah kaedah penswastaan ini dilaksanakan secara menyeluruh dalam industri bola sepak negara mulai 2021 kelak.

Serentak dengan pelaksanaan penswastaan itu, beberapa pasukan juga sudah mula memperbaharui nama pasukan, logo masing-masing dalam usaha memberikan imej baharu selaras dengan proses pemisahan yang berlaku.

Dalam masa sama, pemisahan status daripada FA ke FC ini juga perlu melibatkan pembaharuan dari segi semangat atau sentimen kenegerian yang selama ini begitu menebal dalam kalangan peminat bola sepak tanah air.

Kini segala-galanya bakal berubah di mana besar kemungkinan tidak akan wujud lagi kelompok penyokong yang berasaskan kepada sentimen kenegerian sebagaimana yang berlaku sebelum ini.

Pendek kata, zaman kenegerian telah pun tamat. Segala kejayaan dan segala rekod ketika zaman FA telah berlalu kerana sekarang bermulanya zaman FC iaitu zaman profesional sepenuhnya.

Sebagai contoh, tidak ada lagi pasukan yang boleh mendabik dada di atas rekod kejayaan lampau apabila merangkul kejuaraan Piala Malaysia lebih daripada 30 kali atau pasukan yang mengekalkan rekod tanpa kalah, tidak pernah jatuh divisyen liga dan sebagainya kerana semua itu berlaku pada zaman FA.

Kini selaras dengan penswastaan pasukan, semua pihak perlu memandang ke hadapan kerana dengan bermulanya era FC ia secara keseluruhannya turut menuntut perubahan mentaliti atau anjakan paradigma secara total.

Oleh itu, semua pihak perlu saling bekerjasama dan memainkan peranan masing-masing demi memastikan perubahan mentaliti serta anjakan paradigma ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Jika tidak, segala usaha ke arah penswastaan ini akan menjadi sia-sia sahaja.

*Shahrizal Ahmad Zaini ialah wartawan Sinar Harian Meja Sukan