X

Kindly register in order to view this article
!

Dua sarang penagih di Kuala Abang dimusnahkan

Penduduk setempat bergotong royong melakukan pembersihan bagi memusnahkan sarang penagihan dadah di Mukim Kuala Abang, Dungun, semalam. - Foto AADK Terengganu
A
A

DUNGUN - Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bersama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan komuniti setempat melancarkan operasi memusnahkan dua sarang penagih dadah yang dikesan paling aktif di Mukim Kuala Abang di sini, semalam.

Operasi di bawah Projek Inisiatif Bersepadu Menangani Masalah Penyalahgunaan Dadah, Substan dan Pelencongan Sosial itu membabitkan 35 orang termasuk pegawai dan anggota AADK Daerah Dungun dengan dibantu AADK negeri serta MPKK Teluk Bidara dan Balik Bukit bersama-sama komuniti setempat.

Penolong Pengarah Pencegahan AADK Terengganu, Rusmizal Ibrahim berkata, dalam operasi yang bermula jam 7.30 pagi dan berakhir jam 1 petang itu, dua kawasan berisiko yang dijadikan sebagai sarang melakukan aktiviti penagihan dadah dimusnahkan.

Katanya, dua lokasi sarang penagihan dadah dimusnahkan iaitu di Kampung Teluk Bidara dan Balik Bukit di bawah Mukim Kuala Abang, di sini yang dikesan antara sarang melepaskan gian yang baharu oleh penagih dadah tegar di sekitar kawasan ini.

"Kami memberi tumpuan memusnahkan dua lokasi ini terlebih dahulu kerana kedua-duanya terletak di kawasan rekreasi yang menjadi tumpuan orang awam sebelum ini.

"Jika dahulu tempat ini memang dikenali tetapi kini menjadi sepi serta terbiar dan disebabkan itulah, penagih dadah di sekitar kawasan berkenaan mengambil kesempatan menjadikan lokasi ini sebagai sarang melepaskan gian mereka. Jadi, bagi menghidupkan kembali tempat rekreasi ini dan mengubah stigma masyarakat, kami menyahut cabaran bagi mengembalikan imej tempat rekreasi tersebut di mata masyarakat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata, selain itu, operasi dilancarkan ini sebagai langkah pencegahan awal bagi membendung masalah penyalahgunaan dadah di sekitar kawasan terbabit.

"Kami melancarkan operasi sempena projek ini adalah untuk meningkatkan tahap keyakinan komuniti setempat terhadap keselamatan kawasan terlibat," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!