Felda perlu pembaharuan untuk kembali jadi lombong emas

Idris Jusoh
Idris Jusoh
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) perlu melakukan pembaharuan peneroka seiring matlamat untuk mengembalikan Felda sebagai ‘lombong emas’.

Pengerusinya Datuk Seri Idris Jusoh berkata, usaha itu bertepatan dengan demografik peneroka yang kebanyakannya telah mencapai usia emas dan sudah tiba masa untuk tugas-tugas itu diambil alih oleh generasi kedua.

Beliau berkata, antara inisiatif yang diketengahkan dalam proses pembaharuan itu ialah dengan mewujudkan 15 peratus ketua blok baharu yang terdiri daripada generasi kedua Felda berusia kurang daripada 50 tahun.

“Biasanya usia ketua-ketua blok ni berada dalam lingkungan 60 tahun atau 70 tahun ke atas, dan mereka tidak akan memberi laluan kepada orang-orang muda serta sukar untuk menerima perubahan terutamanya yang berkaitan dengan teknologi baharu yang terkait dengan pertanian,” katanya kepada Bernama.

Usaha ini dilakukan berikutan hasrat Felda untuk mewujudkan pertanian pintar dan berintegrasi yang mampu meningkatkan pendapatan setiap peneroka selaras dengan matlamat bagi menjadikan peneroka Felda sebagai komuniti contoh dan berpendapatan tinggi.

Program pertanian pintar dan berintegrasi itu akan dijalankan dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) serta Universiti Pertanian Malaysia (UPM).

“Program ini dirancang bagi disesuaikan dengan keupayaan dan kebolehan generasi muda yang lebih terdedah dengan teknologi terkini khususnya dalam pertanian,”katanya.

Selain itu, beliau berkata Felda turut menyasarkan peneroka mampu memperoleh pendapatan lebih RM5,000 menjelang 2023 dan melahirkan sehingga 1,000 usahawan jutawan termasuk 3,170 lain-lain usahawan menjelang 2025 menerusi pelbagai program yang telah dirancang dengan melibatkan penyertaan daripada generasi kedua, ketiga serta keempat Felda.

Artikel Berkaitan:

"Felda ada menyediakan peruntukkan sebanyak RM1 bilion bagi Program Pembangunan Peneroka (PPP) yang dijangka mampu memberikan pendapatan tinggi kepada peneroka," katanya.

Seiring usianya yang menjangkau 64 tahun dengan bilangan peneroka seramai 112, 638 orang di 317 tanah rancangan seluruh negara, Felda juga telah melahirkan ramai tokoh-tokoh hebat daripada kalangan generasi muda hasil daripada system pendidikan yang disediakan di setiap tanah rancangan.

"Ramai yang lupa tentang cerita kejayaan Felda, antara tokoh-tokoh hebat yang dilahirkan oleg Felda ialah pengasas Puncak Niaga Holdings Tan Sri Rozali Ismail dari Felda Gedangsa, Kuala Kubu Baru, Selangor, begitu juga dengan penceramah dan pendakwah popular Datuk Muhammad Kazim Elias (Felda Besout 3, Perak).

"Selain itu selebriti tanah air Asmawi Ani (Mawi) dari Felda Taib Andak, Kulai, Johor dan usahawan terkenal iaitu Ketua Pegawai Operasi Farm Fresh, Azmi Zainal (Felda Kelemah, Gemas, Negeri Sembilan), itu belum jawatan-jawatan profesional yang lain seperti doktor, pensyarah dan sebagainya, banyak kisah-kisah kejayaan Felda yang ramai tidak tahu sebenarnya," katanya.

Sehubungan itu, Idris yang dilantik pada 1 Mei lepas sebagai pengerusi, bersama Pasukan Petugas Khas Felda telah melakukan kajian penambahbaikan Kertas Putih Felda termasuk mendapatkan maklum balas daripada semua pihak berkepentingan bagi membentuk Model Baharu Felda yang lebih baik.

"Tiga perkara utama dalam Model Baharu Felda ialah rantaian bekalan yang lengkap, pengurusan pinjaman kepada peneroka dan yang ketiga ialah set minda peneroka.

"Set minda ini yang perlu diubah untuk memperbaharui Felda agar kekal relevan dan kompetitif serta mampu menjana pendapatan lebih tinggi bagi peningkatan sosio-ekonomi selaras dengan kemajuan negara," katanya.

Antara inisiatif untuk mengubah set minda, Felda akan mengadakan latihan Neuro-linguistic programming (NLP) iaitu pendekatan secara psikologikal yang melibatkan penggunaan penganalisaan strategi yang digunakan oleh mereka yang telah berjaya dan diaplikasikan untuk mencapai matlamat persendirian secara menyeluruh kepada warga kerjanya yang kemudiannya akan disampaikan kepada peneroka.

Selain itu, beliau berpendapat Felda berpotensi besar dan berupaya untuk menjadi penggiat utama gedung makanan negara (keselamatan makanan) kerana Felda mempunyai tanah termasuk tenaga kerja yang mencukupi berbanding agensi-agensi kerajaan yang lain.

“Agensi-agensi kerajaan lain yang bertanggungjawab bagi mewujudkan keselamatan makanan di negara ini boleh bekerjasama dengan Felda bagi mencapai matlamat tersebut.

“Felda ada tanah dan kita ada peneroka untuk melakukan kerja-kerja pertanian, kita ada keupayaan itu, jadi mudah untuk kita berperanan sebagai penyedia keselamatan makanan,” tambahnya. - Bernama