X

Kindly register in order to view this article
!

MAFI saran petani sertai ladang kontrak

Che Abdullah (tengah) melihat kualiti jagung yang dipetik dari Tapak Projek Program Tadahan Rahmat Jeli 1 di sini sebelum ia dibawa keluar untuk dipasarkan di Jeli semalam.
A
A

JELI - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menyarankan lebih ramai petani di seluruh negara menyertai untuk meningkatkan lagi pengeluaran sayur-sayuran dan buah-buahan di negara ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, sehingga kini seramai 3,245 peserta ladang kontrak yang berdaftar dengan pelbagai agensi di seluruh negara.

“Untuk hari ini (semalam), di Jeli sahaja kita buat tinjauan di ladang kontrak di bawah seliaan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang berjaya mengusahakan tanaman jagung seluas 32 ekar di Tapak Projek Program Tadahan Rahmat Jeli 1.

“Peserta yang ada di sini seramai 20 orang dan dianggarkan 321,000 batang jagung dapat dituai sepanjang musim tanaman yang bermula pada 1 Ogos hingga 4 Oktober lalu dengan nilai anggaran jualan sebanyak RM193,000.

“Oleh sebab itu kita galakkan petani ini menyertai program ladang kontrak untuk memastikan mereka dapat memasarkan tanaman mereka sebaik mungkin dan pelbagai agensi yang ada membantu bermula dari proses penanaman sehingga ke peringkat pasaran,” katanya di sini semalam.

Che Abdullah (dua dari kanan) melakukan gimik pelepasan lori yang membawa jagung dari Tapak Projek Program Tadahan Rahmat Jeli 1 untuk dipasarkan ke seluruh negara di Jeli semalam.
Che Abdullah (dua dari kanan) melakukan gimik pelepasan lori yang membawa jagung dari Tapak Projek Program Tadahan Rahmat Jeli 1 untuk dipasarkan ke seluruh negara di Jeli semalam.

Terdahulu, Che Abdullah meluangkan masa lebih dua jam melawat Tapak Projek Program Tadahan Rahmat Jeli 1 di Kuala Balah di sini.

Turut hadir, Pengarah FAMA Kelantan, Wan Nora Wan Ahmad, Ketua Jajahan Pejabat Tanah dan Jajahan Jeli, Nik Raisnan Daud dan kakitangan FAMA Kelantan yang terlibat.

Mengulas lanjut mengenai ladang kontrak, Che Abdullah berkata, walaupun keadaan semasa kini agak genting dengan penularan koronavirus (Covid-19), namun trend terbaru iaitu pemasaran melalui dalam talian dapat membantu produk-produk tersebut terus bergerak dan sampai kepada pembeli.

Katanya, oleh sebab itu pihak kementerian menggalakkan petani, penternak dan nelayan sentiasa mendapatkan info terkini daripada agensi yang terlibat supaya mereka dapat membantu kumpulan tersebut memasarkan produk yang ada walaupun dalam tempoh penularan Covid-19 kini.

Untuk rekod di Jeli, selain Tapak Projek Program Tadahan Rahmat Jeli 1, dua lagi tapak lain yang terlibat ialah Bendang Kampung dan Bendang Bala yang mana kedua-dua kawasan ini menanam komoditi jagung di keluasan tanah hampir 150 ekar dan mampu menuai 1.5 juta batang untuk setiap musim tanaman.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!