X

Kindly register in order to view this article
!

Gangguan air di 686 kawasan pulih mulai jam 2 petang ini

Bekalan air di 686 kawasan di Wilayah Petaling, Gombak, Klang/Shah Alam, Kuala Lumpur dan Hulu Selangor dijangka pulih secara berperingkat mulai jam 2 petang ini.
A
A

KUALA LUMPUR - Bekalan air di 686 kawasan di Wilayah Petaling, Gombak, Klang/Shah Alam, Kuala Lumpur dan Hulu Selangor, yang mengalami gangguan malam tadi berikutan henti tugas separa Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) dijangka pulih secara berperingkat mulai jam 2 petang ini.

Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan hari ini menyatakan kerja membaik pulih paip air terawat di LRA SSP1 yang pecah semalam telah siap sepenuhnya pada jam 8 pagi tadi.

“Berikutan itu, LRA SSP1 telah memulakan operasi secara maksimum bagi memenuhi sistem utama bekalan air dan bekalan air disalurkan secara berperingkat,” menurut kenyataan itu.

Air Selangor turut meningkatkan penyaluran air terawat daripada beberapa LRA lain termasuk LRA Sungai Selangor Fasa 3, LRA Wangsa Maju, LRA Sungai Batu dan LRA Bukit Nenas bagi mengurangkan impak gangguan bekalan air kepada pengguna terjejas.

Sebanyak 84 lori tangki air juga digerakkan ke premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis serta kawasan perumahan yang terjejas.

Pengguna juga boleh mendapatkan bantuan bekalan air di pili awam yang disediakan Air Selangor.

Orang ramai boleh merujuk lokasi gangguan bekalan air tidak berjadual dan pili awam tersebut di semua saluran komunikasi rasmi Air Selangor iaitu Facebook, Twitter, Instagram, aplikasi telefon pintar Air Selangor dan laman sesawang www.airselangor.com. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: 666 kawasan di Lembah Klang berdepan gangguan air


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!