X

Kindly register in order to view this article
!

Kem takraw boleh kembali melibas

Antara aksi menarik saingan STL 2020 sebelum ini. Gambar kecil: Ahmad Ismail
A
A

PERSATUAN Sepak Takraw Malaysia (PSM) kini mampu menghela nafas lega apabila seorang pegawai yang terlibat dengan penganjuran Liga Sepak Takraw (STL) 2020 disahkan negatif Covid-19.

Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail berkata, beliau bersyukur kerana pegawai terbabit bebas daripada dijangkiti pandemik tersebut, sekali gus membolehkan barisan pemain negara kembali menjalani latihan seperti biasa.

“Perkhabaran gembira ini juga membolehkan semua atlet sepak takraw negara yang sebelum ini terpaksa menjalani kuarantin di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil dan MSN Taman Keramat AU2, Kuala Lumpur dibenarkan keluar dari bilik penginapan masing-masing.

“Biarpun begitu mereka tidak dibenarkan keluar dari kawasan kem latihan masing-masing semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan ini,” kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

PSM sebelum ini terpaksa menangguhkan sementara beberapa kejohanan tempatan seperti STL, Liga Sepak Takraw Remaja (STL Youth) dan Piala Datuk Seri Ahmad Ismail susulan insiden menimpa pegawai berkenaan sebagai langkah berjaga-jaga.

Mengulas penyambungan semula STL 2020, Ahmad berkata, PSM bercadang menyambung semula kejohanan itu selepas berakhirnya PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya pada 27 Oktober ini.

“Sekiranya STL yang ditangguhkan sementara sebelum ini disambung semula, maka semua pemain dan pegawai pasukan akan diwajibkan untuk menjalani ujian swab sekali lagi sebelum mereka dibenarkan menyertai semula saingan tersebut,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ahmad memberitahu, PSM berterima kasih kepada MSN dan Institut Sukan Negara (ISN) yang prihatin dan memberi kerjasama penuh kepada barisan pemain negara ketika mereka menjalani kuarantin sebelum ini.

“Kerjasama dan komitmen semua pasukan yang mengambil bahagian pada kejohanan sepak takraw anjuran PSM sebelum ini dengan melakukan kuarantin terhadap pemain dan pegawai di negeri masing-masing juga amat kami hargai.

“PSM juga berterima kasih kepada Persatuan Sepak Takraw Pulau Pinang (PESENANG) dan Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang yang proaktif menghantar semua pegawai serta pemain yang terlibat untuk menjalani ujian swab sebaik mereka tiba dari Kuala Lumpur tempoh hari,” ujarnya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!