X

Kindly register in order to view this article
!

Semuanya bergantung kepada Speaker

Abdul Aziz Bari, Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood
A
A

SHAH ALAM - Sama ada usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diterima, dibahaskan ataupun diundi, semuanya bergantung kepada Speaker Dewan Rakyat.

Pakar perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari berkata, ini kerana tafsiran Speaker Dewan Rakyat berhubung perkara itu adalah muktamad dan tidak ada siapa yang boleh mempertikaikannya termasuklah mahkamah.

Menurutnya, di Malaysia telah menyaksikan sebanyak dua kali undi tidak percaya berlaku iaitu di Selangor pada tahun 1976 dan Kelantan pada tahun 1977.

“Atas peraturan yang sama, setakat ini keputusan Speaker yang telah menggagalkan usul undi tidak percaya ini dibahaskan atas pelbagai alasan teknikal dan prosedur.

“Dengan kata lain, keputusan itu menggambarkan bahawa Dewan Perundangan tertakluk kepada kerajaan yang ada yakni eksekutif,” jelasnya kepada Sinar Harian semalam.

Sementara itu, Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, urusan kerajaan seperti usul dan pindaan tetap menjadi keutamaan dalam aturan mesyuarat Dewan Rakyat berbanding usul persendirian.

Menurutnya, ia termasuk usul undi tidak percaya terbaharu yang dikemukakan ahli Parlimen pembangkang.

“Tidak kira berapa banyak usul tersebut dikemukakan, urusan kerajaan perlu diselesaikan terlebih dahulu, barulah usul persendirian ini akan diangkat. Ia ada susunan dan aturannya.

“Tambahan pula terdapat tempoh bagi notis kepada Speaker Dewan Rakyat sebelum ia dikemukakan.

“Difahamkan, sidang kali ini tertumpu kepada soal Belanjawan 2021. Jika mahu usul undi tidak percaya ini diangkat dan dibahaskan, urusan kerajaan perlu diselesaikan terlebih dahulu,” katanya.

Nik Ahmad Kamal berkata, perkara itu termaktub dalam Perkara 14 Perenggan Kedua Aturan Mesyuarat Dewan Rakyat yang menyatakan bahawa sebarang usul yang dibawa oleh seorang menteri tidak boleh dipinda atau dibahaskan.

Katanya, jika sesuatu usul hendak dikemukakan, maka satu pemberitahuan atau notis dibuat terlebih dahulu dan boleh diputuskan untuk dibahaskan tanpa mengikut aturan yang ditetapkan.

“Berdasarkan peraturan tersebut, ia menyebut seorang menteri dan tafsiran kepada jawatan tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan. Beliau merupakan menteri yang menjaga Parlimen.

“Pada pandangan saya, usul ini boleh dibenarkan untuk diangkat dengan tidak mengikut keutamaan aturan mesyuarat selepas menteri berkenaan berbincang atau mendapat persetujuan daripada Perdana Menteri terlebih dahulu.

“Bagaimanapun, dalam percaturan politik, adalah sukar dijangka sama ada usul yang dibawa ini akan bahaskan atau tidak,” katanya.

Sementara itu, Nik Ahmad Kamal memberitahu, Aturan Mesyuarat Dewan Rakyat itu tidak boleh mengatasi Perlembagaan Persekutuan berhubung sokongan terhadap Perdana Menteri namun ia perlu diperhalusi sebaik mungkin.

“Benar tiada ada apa-apa perkara atau peraturan yang boleh mengatasi Perlembagaan Persekutuan tetapi Perkara 62 berkaitan Tatacara Parlimen menyatakan bahawa setiap Majlis Parlimen hendaklah mengawal selia tatacaranya sendiri.

“Ia membenarkan Dewan Rakyat menggunakan kuasa mereka dalam menentukan perjalanan Mesyuarat Dewan Rakyat,” kata beliau.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!