Petanda awal Joe Biden tewaskan Donald Trump

Biden (kiri) mendapat petanda baik untuk menewaskan Trump dalam pilihan raya Presiden apabila ramai anggota partinya iaitu Demokrat yang keluar mengundi awal. - Foto AFP
Biden (kiri) mendapat petanda baik untuk menewaskan Trump dalam pilihan raya Presiden apabila ramai anggota partinya iaitu Demokrat yang keluar mengundi awal. - Foto AFP
A
A
A
AMERIKA SYARIKAT - Seramai 17.8 juta pengundi keluar mengundi awal sebelum pilihan raya Presiden diadakan pada 3 November ini antara Presiden AS, Donald Trump daripada Parti Republikan dengan pencabarnya, Joe Biden yang mewakili Parti Demokrat.

Bilangan ramai yang mengundi awal itu adalah disebabkan oleh pandemik koronavirus (Covid-19) yang melanda dunia ketika ini.

Walaupun keputusan perlumbaan ke Rumah Putih itu tidak diketahui sehingga hari pengundian pada 3 November itu atau kemungkinan lebih lama daripada tarikh tersebut, undian awal itu dipercayai lebih memihak kepada Biden yang berusia 77 tahun.

Ia adalah disebabkan kepada beberapa tinjauan pendapat kebangsaan yang menunjukkan Biden mendahului Trump dengan dua angka.

Pada pilihan raya Presiden 2016, Trump mendapat 304 undi elektoral menewaskan bekas Setiausaha Negara, Hillary Clinton yang memperoleh 227 undi elektorial.

Iowa iaitu negeri di barat tengah AS, tempat Trump berkempen pada Rabu lalu merupakan antara negeri yang membenarkan pengundian awal dilakukan.

"Saya tidak mahu mengundi secara pos," kata Jee Maki, seorang ejen insurans yang mengundi awal di Newton, mukim Jasper.

"Bagi memastikan undi saya dikira, saya mahu mengundi awal dengan datang di pusat pengundian," tambahnya.

Ramai orang berbaris untuk mengundi awal di Atlanta, Georgia pada hari pertama pengundian pilihan raya Presiden Amerika Syarikat baru-baru ini. - Foto AFP
Ramai orang berbaris untuk mengundi awal di Atlanta, Georgia pada hari pertama pengundian pilihan raya Presiden Amerika Syarikat baru-baru ini. - Foto AFP

Artikel Berkaitan:

Undian awal dilakukan di Iowa pada 5 Oktober lalu.

Sehingga Khamis lalu, lebih 325,000 orang keluar mengundi di negeri Iowa, menurut Projek Pilihan Raya AS, Universiti Florida.

Projek itu mengira undian awal yang dilakukan dengan kehadiran pengundi dan undi secara pos.

Pada tengah hari Khamis lalu, sejumlah 17.8 juta orang telah mengundi di negeri-negeri yang melaporkan pengundian awal.

Pakar-pakar pilihan raya menyatakan krisis Covid-19 dan undi pos telah menyumbang kepada jumlah besar pengundian berbanding pada tahun 2016 apabila hanya 47 juta orang mengundi.

Trump sebelum ini kerap kali mengkritik bahawa undi pos boleh menyebabkan berlakunya penipuan tetapi tidak ada bukti berlaku perbuatan bertentangan dengan undang-undang berhubung undi pos pada pilihan raya Presiden AS yang lepas.

Seorang profesor sains politik di Universiti Florida yang mengendalikan Projek Pilihan Raya AS, Michael McDonald berkata, bilangan yang keluar mengungi awal mungkin membawa petanda baik untuk Biden yang juga bekas Naib Presiden AS.

Ramai pengundi memakai pelitup muka semasa mengundi awal di bangunan Arena Ladang Negeri, Atlanta, Georgia baru-baru ini. - Foto AFP
Ramai pengundi memakai pelitup muka semasa mengundi awal di bangunan Arena Ladang Negeri, Atlanta, Georgia baru-baru ini. - Foto AFP

Bagaimanapun, katanya, kemungkinan juga ramai yang akan mengundi untuk Trump pada hari pilihan raya Presiden AS iaitu 3 November depan.

Beberapa tinjauan pendapat menunjukkan anggota-anggota Parti Demokrat kemungkinan lebih ramai mengundi berbanding anggota-anggota Parti Republikan kerana pandemik Covid-19.

"Saya telah memberi amaran bahawa anggota-anggota Demokrat keluar mengundi itu tidak sepatutnya menjadi petunjuk bahawa Biden menguasai pilihan raya," kata McDonald dalam analisis pengundian awal di laman webnya.

"Ya jumlah yang keluar mengundi adalah baik untuk Biden. Namun, adalah dipercayai ramai anggota Republikan yang akan hadir keluar mengundi (di pusat pengundian)." tambahnya.

Jurucakap kempen Trump, Thea McDonald pula berkata kepada akhbar The Washington Post bahawa Presiden AS juga menjangkakan ramai orang akan keluar mengundi pada hari pengundian nanti.

"Selama berbulan-bulan, parti Demokrat menaruh harapan terhadap undi pos, secara tidak bertanggungjawab menakut-nakutkan pengundi supaya tidak mengundi (pada hari pengundian)," tambahnya.

Beliau juga berkata, parti Demokrat juga mahu para pengundinya melakukan pengundian secara pos.

"Anggota-anggota Parti Republikan akan menunjukkan kehadiran mereka pada hari pengundian untuk memelih semula Trump (sebagai Presiden)," ujarnya.

Undian secara pos bermula sejak Perang Saudara meletus di AS pada tahun 1800an dan semasa Perang Dunia Kedua.

Menjelang akhir tahun 1800an, sebahagian negeri di AS kemudian membenarkan orang awam mengundi awal berdasarkan beberapa syarat tertentu.

Presiden ke-16 AS, mendiang Abraham Lincoln pernah menggalakkan negeri-negeri di negara itu supaya membenarkan askar-askar yang terlibat dalam Perang Saudara mengundi awal dalam pilihan raya Presiden di lokasi peperangan.

Justeru, Pennsylvania merupakan negeri pertama di AS membenarkan askar-askar mengundi di lokasi peperangan pada tahun 1812.

Dalam pada itu, menurut Projek Pilihan Raya AS, sehingga Khamis lalu, sebanyak 80.69 juta kertas undi pos telah diminta di negeri-negeri yang melakukan undian awal.

Di negeri-negeri yang melaporkan tentang permintaan daripada parti politik, Demokrat telah meminta sebanyak 23.66 juta undi dan Republikan pula sebanyak 13.91 juta undi.

Sejumlah 2.09 juta orang telah mengundi di Florida, 1.68 juta undi di California dan 1.62 juta undi di Texas, menurut Projek Pilihan Raya AS.

Negeri-negeri lain yang melakukan pengundian awal ialah Michigan (1.3 juta pengundi), Virginia (1.14 juta pengundi) dan New Jersey (1.14 juta pengundi).

Lebih 916,000 undi awal telah dilakukan di negeri selatan Georgia walaupun terdapat barisan panjang pada hari pertama minggu ini sehingga ada pengundi terpaksa menunggu selama lebih 10 jam untuk mengundi di pusat pengundian.

Pengundian awal di pusat mengundi di Carolina Utara bermula pada hari Khamis lalu.

Ia juga diadakan di Texas pada Selasa lalu yang mempunyai 38 pengundi elektoral dan kunci kepada kemenangan untuk Trump. - Agensi