Tuntutan bayaran balik GST mula dibayar berperingkat

T Subromaniam
T Subromaniam
A
A
A

PUTRAJAYA - Kebanyakan tuntutan bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dikemukakan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia telah melepasi proses semakan dan mula dibayar balik secara berperingkat sehingga akhir tahun.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri T.Subromaniam berkata, jabatan itu berhasrat untuk melaksanakan wang tahanan/Jaminan Bank sebagai pilihan bagi syarikat berdaftar GST untuk menjamin keselamatan hasil.

"Jaminan Bank yang akan dilaksanakan ialah pada kadar minimum 30 peratus daripada nilai tuntutan syarikat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata jabatan itu menggunakan beberapa strategi untuk menyelesaikan isu pembayaran balik GST.

Katanya bagi jumlah tuntutan di bawah RM50,000, audit meja telah selesai dilaksanakan dan bayaran akan dibuat mulai sekarang.

"Jumlah permohonan ini melebihi 80 peratus daripada jumlah bilangan tuntutan yang dipohon oleh syarikat," katanya.

Bagi tuntutan berjumlah antara RM50,000 dan RM100,000, Subromaniam berkata bayaran akan dibuat pada kadar 80 peratus dan hanya lawatan tapak atau audit sampel akan dibuat selain mengenakan wang tahanan pada kadar 20 peratus.

"Wang tahanan ini akan dilepaskan selepas lawatan tapak atau audit sampel dibuat dan dijangka selesai dalam tempoh setahun," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagi tuntutan melebihi RM100,000, bayaran akan dibuat pada kadar 70 peratus dan audit lapangan akan dibuat melalui pengurusan risiko dan Jaminan Bank akan dikenakan pada kadar minimum 30 peratus.

"Syarikat-syarikat ini hanya akan menanggung kos sebanyak 0.9 peratus hingga 1.5 peratus di mana pilihan diberikan kepada syarikat untuk menggantikan kaedah Jaminan Bank kepada kaedah wang tahanan.

"Melalui kaedah ini, bayaran 70 peratus daripada jumlah tuntutan akan dibayar kepada syarikat manakala 30 peratus daripada jumlah tuntutan akan ditahan dan akan dibayar balik selepas tindakan lawatan atau audit lapangan selesai dilaksanakan dalam tempoh dua bulan," katanya.- Bernama