Anwar selesai beri keterangan di Bukit Aman

Anwar setelah selesai memberi keterangan kepada polis di Ibu Pejabat Bukit Aman hari ini. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
Anwar setelah selesai memberi keterangan kepada polis di Ibu Pejabat Bukit Aman hari ini. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis telah merakamkan keterangan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bukit Aman di sini hari ini, berhubung kenyataan penyebaran senarai nama 121 ahli Parlimen yang didakwa menyokong pimpinannya.

Anwar berkata, beliau telah memberi keterangan berkaitan enam kes berdasarkan laporan polis yang telah dibuat ke atas dirinya.

"Saya juga memberitahu bahawa ia urusan saya untuk mempersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Ia bukan urusan pihak polis, ahli politik atau Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Hamzah Zainuddin) untuk mengetahui nama-nama yang menyokong saya," katanya pada sidang media di hadapan Bukit Aman di sini hari ini.

Anwar selesai merakam keterangan pada jam 5.10 petang tadi.

"Saya juga telah memaklumkan bahawa saya telah menerima surat pengesahan daripada Presiden parti lain yang menyokong saya.

"Saya telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis bagi membantu siasatan," katanya.

Terdahulu, Anwar bersama peguamnya, Ramkarpal Singh dilaporkan hadir pada jam 3 petang melalui Pintu B Menara 2, Bukit Aman untuk memberi keterangan di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) JSJ Bukit Aman.

Artikel Berkaitan:

Dalam kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed sebelum ini memaklumkan, sehingga semalam, sebanyak 113 laporan telah diterima pihaknya berhubung kes terbabit.

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar diminta hadir ke Bukit Aman esok

Polis siasat kes penyebaran senarai 121 Ahli Parlimen sokong Anwar

Kes itu diklasifikasikan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

Huzir turut menggesa orang ramai agar tidak membuat, menerbitkan atau mengedarkan apa-apa kenyataan, khabar angin atau berita yang mempunyai kecenderungan yang boleh menggugat ketenteraman awam bagi menjamin kesejahteraan dan keharmonian masyarakat.

Sebelum ini, Anwar menerusi satu sidang akhbar khas mengumumkan telah mempunyai sokongan ahli Parlimen yang mencukupi untuk membentuk kerajaan Persekutuan.

Beliau mendakwa yakin mempunyai majoriti hampir dua pertiga ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu sekali gus menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.