Ajal dalam bilik hotel

Lelaki warga Amerika Syarikat ditemui meninggal dunia di bilik hotel pagi tadi.
Lelaki warga Amerika Syarikat ditemui meninggal dunia di bilik hotel pagi tadi.
A
A
A

GEORGETOWN- Seorang lelaki warga Amerika Syarikat ditemui tidak bernyawa di sebuah bilik hotel di Jalan Penang di sini, pagi tadi.

Kejadian itu disedari pekerja hotel berkenaan ketika hendak melakukan kerja mengemas di bilik lelaki tersebut.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, lelaki yang dikenali sebagai James Edward Mahoney mendaftar masuk ke hotel itu semalam.

Menurutnya, pagi tadi, ketika pekerja hotel ingin mengemas bilik, lelaki tersebut dilihat terbaring tidak sedarkan diri di katil bilik hotel berkenaan.

"Pekerja berkenaan telah melaporkan kepada pengurusnya lalu mereka menghubungi Hospital Pulau Pinang bagi memaklumkan perkara itu. Penolong pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan lelaki tersebut sudah meninggal dunia.

"Pemeriksaan pada tubuh lelaki berusia 67 tahun itu didapati tiada unsur jenayah. Mayat lelaki tersebut dibawa ke Jabatan Forensik HPP untuk dibedah siasat," katanya ketika dihubungi tadi.

Che Zaimani berkata, keputusan bedah siasat yang dibuat mengesahkan tiada unsur jenayah di tubuh mangsa dan kematiannya disebabkan serangan jantung.

Tambahnya, polis telah memaklumkan perkara itu kepada Kedutaan Amerika Syarikat dan Polis Antarabangsa (Interpol).

Artikel Berkaitan:

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).