'Siasat segera individu pukul anggota bomba'

 Zuraida Kamaruddin
Zuraida Kamaruddin
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin menggesa siasatan segera dilakukan terhadap individu yang memukul anggota bomba ketika sedang menjalankan kerja-kerja pemadaman di Cheras.

Menurutnya, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) berkenaan telah membuat laporan polis berhubung insiden tersebut.

"Saya turut menerima maklumat bahawa individu berkenaan berada dalam keadaan khayal dan pemeriksaan ke atas kenderaan menjumpai senjata tajam berupa pisau pemotong daging," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pengorbanan anggota bomba seharusnya diiktiraf masyarakat.

"Secara peribadi, saya terkilan dan terguris apabila melihat rakaman video berkenaan kerana anggota JBPM merupakan salah satu petugas di barisan hadapan yang bekerja tanpa mengenal erti penat dan lelah," katanya.

Terdahulu tular di laman sosial, video berdurasi 1:21 yang memaparkan seorang individu melulu ke arah anggota bomba sebelum bertindak memukul seorang lagi anggota.

Tindakan itu menyebabkan anggota bomba lain menahannya.

Kejadian dipercayai berlaku ketika pasukan JPBM sedang melakukan kerja-kerja pemadaman akibat kemalangan jalan raya berhampiran dengan Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Hussein Onn.

Artikel Berkaitan: