Covid-19: Terengganu sedia hadapi banjir dengan SOP baharu

Simulasi menyelamat mangsa banjir mengikut SOP baharu yang diadakan pasukan keselamatan di Sungai Merchang, Marang hari ini.
Simulasi menyelamat mangsa banjir mengikut SOP baharu yang diadakan pasukan keselamatan di Sungai Merchang, Marang hari ini.
A
A
A

MARANG - Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu bersedia menghadapi banjir dengan amalan prosedur operasi standard (SOP) baharu berikutan pandemik koronavirus (Covid-19).

Ketuanya, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, SOP baharu itu sebagai langkah mengekang penularan Covid-19 sekali gus memastikan keselamatan mangsa dan petugas banjir terjamin.

Menurutnya, antara amalan baru yang akan dilaksanakan adalah penjarakkan fizikal dengan pengurangan kira-kira 70 peratus jumlah mangsa banjir dalam kenderaan ketika operasi pemindahan ke pusat pemindahan sementara dilakukan.

"Dalam bot, kita kurangkan jumlah mangsa. Dalam lori sama juga, kalau sebelum ini satu lori boleh muat 40 orang tapi kini hanya hadkan 14 orang. Tidak boleh bersesak dan terus dibawa ke pusat pemindahan ditetapkan," katanya.

Beliau yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu berkata demikian ketika ditemui pada Program Simulasi Banjir Daerah Marang 2020 di Dewan Sivik Merchang, di sini hari ini.

Mangsa banjir yang tiba di pusat pemindahan sementara akan menjalani saringan kesihatan terlebih dahulu sebelum daftar masuk.
Mangsa banjir yang tiba di pusat pemindahan sementara akan menjalani saringan kesihatan terlebih dahulu sebelum daftar masuk.

Hadir sama Timbalan Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital, Sulaiman Sulong, Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Razak dan Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintenden Mohd Zain Mat Dris.

Marang menjadi daerah pertama negeri ini mengadakan simulasi banjir melibatkan 111 Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Jabatam Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Pejabat Daerah Marang.

Artikel Berkaitan:

Che Adam berkata, selain hadkan jumlah mangsa dalam kenderaan, mereka yang dipindahkan juga akan menjalani saringan kesihatan terlebih dahulu sebelum daftar masuk ke pusat pemindahan sementara dan semua mereka diberikan pelitup muka.

"Dalam perkara ini, kita amalkan penjarakkan sosial (fizikal) yang ketat dengan kedudukan khemah dalam pusat pemindahan turut dijarakkan antara satu sama lain.

"Dari segi makanan pula, tiada lagi amalan gotong royong di pusat pemindahan sebaliknya semua mangsa akan diberikan makanan berbungkus yang disediakan oleh katerer," katanya.