Ku Li berhak kemuka usul, kata Annuar

Annuar Musa - Foto Bernama
Annuar Musa - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li mempunyai hak untuk mengemukakan sebarang usul kepada Dewan Rakyat.

Bagaimanapun Setiausaha Agong BN, Tan Sri Annuar Musa berkata, pada masa sama, Speaker Dewan Rakyat juga mempunyai tanggungjawab untuk melaksanakan tugasnya mengikut peraturan ditetapkan.

"Sebagai ahli Parlimen yang agak lama, saya sudah faham benar," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai sepucuk surat Ku Li yang mahu usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dibahaskan di Dewan Rakyat.

Ditanya mengenai dakwaan kewujudan kem yang menyokong Ku Li di dalam UMNO untuk diangkat sebagai Perdana Menteri, Annuar memilih untuk mengunci mulut.

"Saya tak ada (komen) untuk ulas mengenai apa- apa spekulasi," ujarnya.

Menurutnya, semua pihak sepatutnya memberi tumpuan kepada rakyat.

"Saya rasakan kita terlalu sibuk untuk memberi jawatan kepada siapa, siapa ada kuasa dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

"Kurang sekali kita duduk bersama membincangkan agenda orang Melayu, rakyat miskin, pandemik koronavirus (Covid-19) dan sebagainya," katanya.

Menurutnya, sebagai ahli Parlimen, beliau berpendapat tiada keseimbangan antara rakyat dan politik.

"Rasa tidak puas hati akan datang sepanjang masa tetapi ia bukanlah alasan untuk kita bergaduh. Rakyat menjadi susah, pasaran saham merudum, bilangan pelabur luar akan kurang sekiranya kita ambil pendekatan sebegitu," kata Annuar lagi.

Semalam, dalam surat yang dilihat Sinar Harian, Ku Li mendakwa dua usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin ditolak sebanyak dua kali untuk dibahaskan.

Pendedahan itu dibuat sehari selepas Ku Li dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pertemuan itu diadakan selepas Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersembahkan bukti yang didakwa memberi sokongan terhadapnya.

Ditanya mengenai samada BN akan membincangkan keputusan Biro Politik UMNO, Annuar berkata, ia antara isu yang bakal dibincangkan, namun belum ada sebarang tarikh untuk semua parti komponen duduk semeja.

Kelmarin, UMNO membuat pertimbangan untuk menarik diri daripada menyokong Perikatan Nasional (PN) dan akan memberi syarat baharu kepada Muhyiddin bagi meneruskan kerjasama politik secara perjanjian bertulis.