X

Kindly register in order to view this article
!

Belanjawan 2021 penentu kerajaan PN kekal atau tidak

Dr Anuar Shah Bali Mahomed. FOTO: MOHD IZARI ROSLI
A
A

SHAH ALAM - Pembentangan Belanjawan 2021 dijangka menjadi penentu sama ada kerajaan sedia ada mampu bertahan untuk terus mendapat sokongan majoriti atau bakal wujud kerajaan baharu.

Penganalisis politik, Dr Anuar Shah Bali Mahomed berkata, ketika ini situasi yang berlaku selepas Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam bagi mempersembahkan jumlah sokongan majoriti dimiliki dilihat masih belum dapat dipastikan.

Beliau berkata, tambah lagi kenyataan dari Istana Negara selepas pertemuan itu menggambarkan seolah-olah perkara itu berakhir di situ saja.

"Tetapi kita tidak tahu apa akan berlaku dalam seminggu dua ini atau beberapa bulan akan datang kerana angka yang menyokong itu tidak statik dan ia boleh berubah.

"Malah kita tidak tahu kepercayaan akan meningkat atau berkurang tetapi indikator paling jelas adalah pada pembentangan Belanjawan 2021 nanti iaitu pada 6 November ini," katanya pada Wacana Sinar ke-201 bertajuk Kesan Gerak Politik Anwar Kepada Kerajaan Muhyiddin yang disiarkan secara langsung di Kumpulan Karangkraf di sini semalam.

Anwar mohon Agong sahkan senarai majoriti ahli Parlimen

Turut menjadi panelis, Pakar Perlembagaan, Profesor Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz dan Herleena Pahlavy selaku moderator.

Anuar Shah Bali berkata, sekiranya pembentangan Belanjawan 2021 itu diluluskan bermakna kesimpulan yang boleh dibuat, kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin masih boleh bertahan.

Namun beliau berkata, jika belanjawan itu tidak diluluskan, ia jelas menunjukkan indikasi bahawa kerajaan PN tidak mendapat sokongan lagi.

"Jika tiada sokongan lagi maka alternatif lain perlu diambil termasuk membubarkan Parlimen atau mewujudkan kerajaan baharu.

"Dalam konteks Malaysia dalam tempoh 29 bulan kita sudah ada dua kerajaan iaitu pertama kerajaan PH (Pakatan Harapan) selama 22 bulan dan kerajaan PN tujuh bulan. Tak tahulah jika akan wujud pula kerajaan ketiga kerana tempoh yang tinggal agak berkurangan," katanya.

Katanya, bulan lima tahun depan sudah genap tiga tahun dan biasanya Parlimen boleh bubar dalam tempoh tersebut untuk diadakan pilihan raya umum.

"Jadi pembentangan Belanjawan 2021 pada November ini amat penting untuk menentukan apa yang akan berlaku seterusnya," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!