X

Kindly register in order to view this article
!

'Terpaksa guna tong air sebagai pengangkutan'

Jamaludin menggunakan tong air besar untuk membawa anak dan isterinya selepas rumah mereka ditenggelami air sedalam satu meter di Kampung Alor Berhala, Pendang.
A
A

PENDANG - Sebanyak 30 keluarga di mukim Tobiar dekat sini terpaksa menyelamatkan barangan penting di rumah mereka akibat banjir yang melanda kampung berkenaan selepas hujan sejak tiga hari lalu.

Banjir berlaku berikutan Sungai Padang Kerbau mula melimpah ke kampung berdekatan seperti Kampung Banggol Tengah, Kampung Alor Berhala dan Kampung Sungai Mati.

Seorang penduduk dari Kampung Bangol Tengah, Ismadi Kassim, 42 berkata, dia dan ibunya, Zaiton Abd Latif, 72, mula memindahkan perabot dan peralatan elektrik ke tempat lebih tinggi sejak dua hari lalu.

Bagaimanapun, beberapa barangan keperluan lain gagal diselamatkan selepas air naik setinggi 0.5 meter di ruang dapur rumah selepas hujan lebat bermula jam 3 pagi semalam.

"Kami tidak dapat menyelamatkan beberapa barang keperluan kerana air deras memasuki rumah. Ibu saya pula sudah tua dan tidak mampu mengangkat barangan yang berat dan kami sudah bersedia jika diarahkan berpindah,"katanya

Seorang lagi penduduk dari Kampung Alor Berhala, Jamaludin Mahmud, 64, berkata, bahagian dapur rumahnya telah ditenggelami air sedalam satu meter tetapi masih tinggal di rumah berkenaan.

Menurutnya, dia menggunakan tong air besar sebagai pengangkutan dan langkah keselamatan daripada ancaman binatang bisa seperti ular untuk keluar ke jalan besar.

"Pernah beberapa kali penduduk jumpa binatang berbisa ini kerana rumah berdekatan dengan sawah padi. Tong ini boleh membawa mereka keluar dengan selamat," katanya.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pendang, Leftenan (PA) Norashikin Ahmad Zawawi ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah membuka pusat pemindahan sementara di Dewan Cenderawasih pada jam 10 pagi tadi.

Menurutnya, APM bersedia mengambil mangsa banjir pada bila-bila masa untuk ditempatkan di situ selain terus memantau keadaan paras air Sungai Pendang yang kini mencecah paras 3.19 meter.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!