X

Kindly register in order to view this article
!

Seorang maut, dua parah kereta bertembung

Keadaan kereta Proton Iswara yang remuk selepas terlibat kemalangan di Jalan Kempas Lama-Seelong, Johor Bahru pagi tadi.
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang maut manakala dua lagi parah selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan dua kereta di Jalan Kempas Lama-Seelong di sini pagi tadi.

Kemalangan pada jam 1.40 pagi berhampiran Taman Kempas Indah itu melibatkan sebuah kereta jenis Proton Iswara dinaiki dua beradik dan kereta Toyota Vios dipandu seorang wanita.

Dalam kejadian itu, Denny Nichols, 24, yang memandu kereta Proton Iswara maut, manakala Fredy Nichols, 27, yang duduk di bahagian penumpang hadapan dan pemandu Toyota Vios parah.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Wahid berkata, kemalangan berlaku apabila Proton Iswara berkenaan yang datang dari Seelong ke Kempas hilang kawalan.

"Proton Iswara tersebut masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan Toyota Vios berkenaan yang datang dari Kempas menuju ke Seelong.

"Akibat kemalangan itu, pemandu kereta Proton Iswara maut manakala penumpang dan pemandu sebuah lagi kereta parah. Mangsa yang parah dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini untuk rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, seramai 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau dengan sebuah jentera Fire Rescue Team (FRT) dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

Ketua Operasinya, Penguasa Bomba Kanan II Noor Azad Sabtu berkata, ketika anggota tiba di tempat kejadian, dua mangsa dalam kereta Proton Iswara tersepit di tempat duduk masing-masing.

"Kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan dan pemandunya disahkan meninggal dunia oleh Pembantu Pegawai Perubatan dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) yang hadir ke lokasi.

"Mangsa meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Operasi tamat pada jam 3.23 pagi," katanya.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian berikutan memandu melulu dan menyebabkan kematian.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!