Pencemaran air: Kerajaan cadang denda RM10 juta

Tuan Ibrahim (duduk) melihat pencemaran di Pantai Cermin hari ini.
Tuan Ibrahim (duduk) melihat pencemaran di Pantai Cermin hari ini.
A
A
A

PORT DICKSON - Kerajaan bercadang meminda hukuman denda bagi kes pencemaran air daripada RM500,000 kepada RM10 juta.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pindaan ke atas Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 itu dijangka dibentangkan dalam sidang Parlimen November ini.

"Pindaan itu juga akan meningkatkan hukuman penjara dan semua ini akan kita bentangkan dalam sidang Parlimen akan datang.

"Bagi saya ia bukan soal akta, tetapi sikap mereka ini saya anggap sebagai penjenayah kepada alam sekitar dan kita tidak boleh berkompromi dengan sikap melampau seperti ini.

"Akta sedia ada sudah mencukupi bagi menangani isu, namun yang paling utama adalah sikap sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas meninjau lokasi pencemaran tumpahan minyak di Pantai Cermin di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Norlin Jaafar, Pengarah JAS Negeri Sembilan Azuri, Azizah Saedon dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Razali Ab Malek.

Sementara itu, mengulas mengenai insiden berkenaan yang melibatkan pencemaran sepanjang dua kilometer di pesisir Pantai Cermin, beliau berkata, ia merupakan kes kali kedua direkodkan selepas yang pertama pada tahun 2009.

Artikel Berkaitan:

"Bagi kes ini, Jawatankuasa Tindakan Pembersihan Pantai Peringkat Daerah Port Dickson dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Alor Gajah, Melaka diaktifkan untuk kerja-kerja pembersihan dan pelupusan sisa minyak akibat pencemaran oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Selain itu, sampel di lokasi telah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia bagi dianalisis dan penentuan ciri serta komposisi bahan buangan. JAS dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia juga melakukan rondaan laut dan pemantauan dron bagi mengesan punca tumpahan minyak ini," katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 27, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.