Pintu 2 Istana Negara jadi tumpuan media

Warga media mula berada di pekarangan pintu 2, Istana Negara sejak pagi tadi. - Foto Rosli Talib
Warga media mula berada di pekarangan pintu 2, Istana Negara sejak pagi tadi. - Foto Rosli Talib
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pekarangan pintu 2, Istana Negara di sini mula menjadi tumpuan warga media sejak kira-kira jam 8 pagi tadi susulan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini.

Pertemuan tersebut bagi mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya seperti dinyatakan ketika sidang medianya pada 23 September lalu.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong pada jam 10 pagi.

Bagaimanapun berdasarkan maklumat terkini daripada pihak Bahagian Komunikasi PKR, memaklumkan belum mempunyai sebarang maklumat berkenaan waktu menghadap.

Keadaan di pekarangan pintu 2, Istana Negara pagi ini. - Foto Rosli Talib
Keadaan di pekarangan pintu 2, Istana Negara pagi ini. - Foto Rosli Talib

Anwar dalam kenyataannya sebelum ini mendakwa, Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan beliau menghadap baginda hari ini bagi menyempurnakan 'langkah politik' beliau untuk membentuk kerajaan dengan majoriti selesa.

Ini setelah beliau mendakwa mempunyai sokongan hampir dua pertiga ahli-ahli Parlimen.

Setakat jam 8.50 pagi, pekarangan pintu 2, Istana Negara hanya dipenuhi warga media tanpa kehadiran mana-mana penyokong parti.

Artikel Berkaitan:

Pasukan keselamatan dilihat berkawal bersama beberapa buah kereta peronda di laluan masuk pintu 2 Istana Negara.

Namun tiada sebarang sekatan laluan dibuat kepada kenderaan awam.