Covid-19: 563 kes baharu, dua kematian

Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Sebanyak 563 kes baharu pandemik koronavirus (Covid-19) dilaporkan hari ini dan menjadikan jumlah keseluruhan di Malaysia ialah sebanyak 16,220 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah sebanyak 5,039 kes.

"Mereka (pesakit) telah diasingkan dan diberi rawatan. Daripada 563 kes hari ini, Sabah masih mencatat jumlah kes harian tertinggi iaitu sebanyak 291 kes, namun ia rendah berbanding semalam iaitu 488 kes.

"Negeri Pulau Pinang mencatat lonjakan jumlah kes positif iaitu sebanyak 141 kes, namun kesemuanya adalah dari Kluster Penjara Reman di mana semua kes itu sememangnya terasing daripada masyarakat iaitu di dalam penjara," katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di Malaysia di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, daripada 563 kes baharu yang dilaporkan, terdapat satu kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara iaitu Indonesia di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang melibatkan warganegara Malaysia.

"Daripada 562 kes penularan di dalam negara, 498 kes adalah warganegara Malaysia dan 64 kes adalah bukan warganegara.

"Sebanyak 10 kes pula merupakan pengunjung yang pulang dari Sabah, sekali gus menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September lalu adalah sebanyak 363 kes," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, sehingga kini terdapat 98 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana 29 kes memerlukan bantuan pernafasan.

"Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan dua kes kematian berkaitan Covid-19.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 159 kes (1.0 peratus daripada jumlah keseluruhan kes). KKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka," katanya.