'Siapa sokong Anwar masih teka-teki'

Mujahid Yusof
Mujahid Yusof
A
A
A

SHAH ALAM - Bilangan majoriti yang diperoleh dan nama-nama ahli Parlimen UMNO yang menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan baharu masih menjadi teka-teki menjelang pertemuan di Istana Negara esok.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, turut menjadi persoalan ialah kemungkinan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu akan mengambil risiko meletakkan kedudukan yang rapuh seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin jika sekadar mempunyai enam atau tujuh majoriti.

Bagaimanapun, Mujahid berkata, Anwar dalam pengumuman pada 22 September lalu memberi bayangan mempunyai majoriti kukuh, yakin dan selesa dengan menyebut ia termasuk sokongan daripada ahli Parlimen Melayu-Bumiputera.

“Siapakah mereka? Kita tahu ahli Parlimen UMNO semuanya Melayu seramai 39 orang.

“Andaian yang mengatakan ahli Parlimen UMNO berpindah sokongan sangat tinggi. Ini tidak termasuk ahli Parlimen PKR yang mungkin buat 'U-turn' meninggalkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Pada sesetengah pihak, ia seolah-oleh mustahil. Jika berlaku, ia seolah-olah mendedahkan kemarahan penyokong tegar DAP, Amanah dan PKR kerana berkompromi dengan musuh politik lama,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mujahid berkata, Anwar memulakan langkah ke arah membentuk kerajaan baharu selepas Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) pada Mac lalu memberikan kepercayaan penuh kepada beliau untuk kembalikan mandat rakyat.

Bagaimanapun, katanya, daripada awal Anwar tidak mempunyai majoriti ahli Parlimen Melayu dalam blok PH yang merupakan perkara penting dalam peraturan politik di negara ini.

Artikel Berkaitan:

“Sebagai panduan, Anwar diingatkan Majlis Presiden PH berhubung prinsip teras seperti integriti, prinsip hukum dan ketelusan dalam menjalankan misi mendapat majoriti di Parlimen.

“Semasa 22 bulan pemerintahan PH, kita menolak kemasukan ahli Parlimen UMNO secara 'en-bloc' iaitu masuk secara kelompok atas nama parti tetapi kemasukan atas individu.

“Penyokong PH dan pengundinya sangat sensitif dengan kelompok UMNO yang mereka tolak kerana gagal memelihara integriti dan amanah sebagai pemerintah,” ujarnya.

Tambah Mujahid, sekiranya sokongan kepada Anwar itu atas kapasiti individu, maka beliau yakin ia bukan satu perjanjian antara parti, PH dan UMNO.

Selain itu, beliau turut mempersoalkan balasan yang akan diperoleh oleh ahli Parlimen UMNO yang mempunyai kes di mahkamah sekiranya mereka menyokong Anwar.

"Tetapi saya yakin istana lebih bijak dan berhikmah mengendalikan keadaan.

“Ini kerana kunci jawapan sebenar terletak kepada hasil pertemuan bersejarah antara Anwar dan Yang di-Pertuan Agong bagi menentukan hala tuju negara dalam suasana sukar hari ini,” katanya.