Pusat beli-belah di Puchong masih dibanjiri pengunjung

Suasana pengunjung sedang berbelanja di sebuah pusat beli-belah terkemuka di Puchong hari ini.
Suasana pengunjung sedang berbelanja di sebuah pusat beli-belah terkemuka di Puchong hari ini.
A
A
A

PUCHONG - Pusat beli-belah terkemuka di sini hari ini masih dibanjiri pengunjung walaupun dilaporkan penutupan sementara sebuah pusat beli-belah di Bandar Utama semalam berikutan berlaku kes penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Tinjauan Sinar Harian ke pusat beli-belah itu mendapati, kompleks berkenaan dipenuhi pengunjung dan jumlahnya semakin bertambah menjelang waktu puncak jam 12 tengah hari.

Malah, segelintir pengunjung dilihat datang bersama keluarga termasuk ada yang membawa anak-anak yang masih kecil termasuk bayi.

Seorang pengunjung, Zairi Firdaus Zainal, 37, dari Taman Puchong Prima berkata, dia datang ke kompleks itu bersama isteri dan dua anak mereka yang berusia sembilan dan tujuh tahun untuk berbelanja dan makan tengah hari.

Jelas Zairi Firdaus, meskipun begitu dia dan isteri sentiasa berwaspada dan memastikan pergerakan anak-anak terkawal.

"Memang terkejut juga bila baca berita semalam tentang pusat beli-belah One Utama ditutup sebab ada kes positif Covid-19.

"Sebab itu, saya dan isteri lebih hati-hati bila bawa anak keluar ke pusat beli-belah ini. Kami pimpin tangan anak untuk jaga jarak fizikal dengan pengunjung lain," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Semalam, Sinar Harian melaporkan One Utama dan Tropicana Golf Club & Country Resort ditutup berikutan terdapat kes penularan Covid-19 di kedua-dua premis tersebut.

Artikel Berkaitan:

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Petaling, Johary Anuar, penutupan bermula hari ini bagi tujuan membuat saringan kesemua kontak rapat dan proses nyahkuman.

Katanya, terdapat empat kes positif Covid-19 melibatkan tiga pekerja dan seorang pengunjung di One Utama.

Suasana masih sibuk seperti biasa di sebuah pusat beli-belah terkemuka di Puchong hari ini.
Suasana masih sibuk seperti biasa di sebuah pusat beli-belah terkemuka di Puchong hari ini.

S Thineswaran, 45, dari Bandar Kinrara pula berkata, jarak pusat beli-belah itu dengan One Utama yang agak jauh mungkin menyebabkan pengunjung tidak ragu-ragu untuk terus mengunjungi pusat beli-belah.

Katanya, walaupun dilaporkan berlaku kes Covid-19 di One Utama tetapi ia tidak bermakna semua pusat beli-belah tidak selamat untuk dikunjungi.

"Saya lihat di pusat beli-belah ini, pengunjung patuhi prosedur operasi standard (SOP) sebab kita dah terbiasa dengan normal baharu ini. Sikap berdisiplin itu boleh elak daripada berlakunya jangkitan.

"Tapi kalau boleh, bagi mereka yang berisiko tinggi janganlah datang ke tempat orang ramai seperti di pusat beli-belah. Duduklah di rumah," katanya yang datang membeli barangan keperluan harian.

Sementara itu, jurujual yang hanya mahu dikenali sebagai Nizam Hashim berkata, pusat beli-belah itu sememangnya menjadi tumpuan orang ramai terutama ketika cuti hujung minggu.

Katanya, biarpun One Utama dilaporkan ditutup sementara bermula hari ini tetapi berita tersebut tidak menimbulkan perasaan bimbang orang ramai yang masih mengunjungi pusat beli-belah lain.

"Seawal jam 10 pagi, sejak pusat beli-belah ini dibuka, orang ramai dah mula beratur untuk masuk. Tapi ekoran kes di One Utama, majikan saya juga dah ingatkan agar semua pekerja lebih berhati-hati ketika melayan pelanggan," katanya.