Pusat beli-belah di Ipoh terus dikunjungi

Masih ramai yang berkunjung di pusat membeli-belah sekitar Ipoh bersama keluarga sempena cuti hujung minggu.
Masih ramai yang berkunjung di pusat membeli-belah sekitar Ipoh bersama keluarga sempena cuti hujung minggu.
A
A
A

IPOH - Pusat membeli-belah di sekitar Ipoh masih dikunjungi orang ramai biarpun jumlah kes pandemik koronavirus (Covid-19) di negara ini terus bertambah.

Tinjauan Sinar Harian di sebuah pusat beli-belah di Bandar Raya Ipoh di sini hari ini mendapati, masih ramai pelanggan yang berkunjung bersama keluarga kerana mengambil kesempatan cuti hujung minggu.

Bagaimanapun, pihak pengurusan pusat membeli-belah berkenaan menjalankan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat kepada para pengunjungnya dengan memastikan mereka mendaftar menggunakan aplikasi MySejahtera sebelum dibenarkan masuk.

Penolong Pengurus Pengiklanan dan Promosi Ipoh Parade, Lim Huey Tyng berkata, operasi perniagaan di Ipoh Parade berjalan seperti biasa malah kehadiran orang ramai juga amat menggalakkan.

Menurutnya, pihak pengurusan amat mengambil berat tentang SOP yang perlu dipatuhi oleh setiap pengusaha dalam lot premis pusat membeli-belah tersebut.

"Kita memang mewajibkan semua pengusaha dan peniaga mematuhi SOP yang telah ditetapkan terutama dari segi pendaftaran MySejahtera, pemakaian pelitup muka, penjarakkan fizikal dan sebagainya.

"Malah, orang ramai juga sudah biasa dengan normal baharu itu dan mereka patuh pada SOP," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Dalam pada itu, Huey Tyng berkata, pihaknya menjalankan kerja-kerja sanitasi di pusat membeli-belah berkenaan secara kerap bagi memastikan kebersihan sentiasa di tahap terbaik.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, orang ramai diharapkan tidak berasa bimbang untuk berkunjung bersama keluarga kerana segala langkah pencegahan dan SOP sentiasa diutamakan.

Sementara itu, dalam tinjauan ke sebuah lagi pusat membeli-belah, kelihatan orang ramai berkunjung seperti biasa dengan mematuhi SOP mencegah Covid-19.

Malah, setiap pelanggan yang masuk bersama keluarga diperiksa sama ada kesemuanya didaftarkan dalam aplikasi MySejahtera atau sebaliknya.