Kedah ke Ipoh untuk menang: Aidil Sharin

Aidil Sharin Sahak
Aidil Sharin Sahak
A
A
A

ALOR SETAR - Kedah tidak memandang rendah keupayaan Perak pada aksi akhir Liga Super 2020 di Ipoh malam esok bagi penentuan tempat kedua untuk slot automatik kelayakan Piala AFC 2021.

Walaupun mereka hanya perlu seri pada perlawanan tersebut, namun pengendalinya, Aidil Sharin Sahak percaya anak-anak buahnya akan menerima tentangan sengit yang diberikan lawan selepas melihat momentum yang ditunjukkan The Bos Gaurus pada aksi lalu yang terikat 3-3 dengan Pahang.

Menurutnya, motivasi tinggi yang ditunjukkan oleh skuad kendalian Mehmet Durakovic itu perlu diberikan perhatian jika mereka tidak mahu kecewa pada perlawanan penting tersebut.

"Kebangkitan Perak yang mengikat Pahang 3-3 selepas ketinggalan pada aksi lalu membuktikan keupayaan dan semangat melawan pasukan tuan rumah cukup tinggi. Perak adalah sebuah pasukan yang berkualiti. Kemenangan adalah bonus, keputusan seri pula cukup baik namun situasi cukup bahaya jika pergi hanya untuk seri.

"Apa yang penting, Kedah akan memberikan yang terbaik pada perlawanan ini. Motivasi semua pemain kita juga berada pada tahap terbaik dan mereka akan memberikan komitmen sepenuhnya," katanya di Stadium Sultan Abdul Halim di sini sebelum berlepas ke Ipoh hari ini.

Katanya, kekalahan 3-1 kepada lawan sama pada aksi perebutan Unity Shield 2020 pada Februari lalu di Ipoh tidak boleh dijadikan sebagai ukuran sebenar kerana Kedah kini hadir dengan tempo dan persefahaman yang lebih baik.

"Sudah tentu kami akan memberikan perhatian kepada beberapa pemain Perak seperti Shahrel Fikri Fauzi yang berusaha untuk menambah lagi koleksi golnya untuk berusaha menjadi penjaring terbanyak Liga Super 2020," katanya lagi.

Sementara itu, penyerang Kedah, Kipre Tchetche berkata, keutamaannya kini adalah untuk memburu kemenangan kepada Lang Merah bagi menjamin kedudukan kedua pasukan dalam saingan liga super musim ini.

Artikel Berkaitan:

"Kami akan bermain sebagai satu pasukan. Persefahaman, semangat dan motivasi kami sebagai sebuah pasukan sudah semakin baik berbanding aksi pramusim lalu yang tewas kepada Perak 3-1.

"Tekanan sekarang cukup dirasai oleh Perak yang perlukan kemenangan berbanding Kedah. Kami akan fokus pada aksi ini dan kami sudah tahu apa yang perlu dilakukan pada perlawanan ini," katanya.