Casemiro tabik karakter pemain Brazil

Firmino (dua, kanan) meraikan jaringan bersama pemain Brazil lain ketika aksi menentang Bolivia di Neo Quimica Arena.
Firmino (dua, kanan) meraikan jaringan bersama pemain Brazil lain ketika aksi menentang Bolivia di Neo Quimica Arena.
A
A
A

KAPTEN Brazil, Casemiro memuji persembahan bertenaga pemain-pemain Samba ketika melakar kemenangan bergaya 5-0 ke atas Bolivia dalam aksi pertama Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022 di Neo Quimica Arena, Sao Paulo pagi tadi.

Tonggak tengah Real Madrid berusia 28 tahun itu berkata, tanpa keraguan pemain-pemain Brazil mempamerkan satu persembahan cukup luar biasa sekali gus membuktikan kuasa bola sepak Amerika Selatan berkenaan fokus pada pertandingan peringkat kumpulan kali ini.

“Tanpa keraguan pemain-pemain Brazil sememangnya memandang serius pada perlawanan pertama kempen kelayakan ini. Ada ketikanya kami terlalu menghormati lawan menyebabkan kami tidak melakukan sesuatu yang luar biasa.

“Tapi pada perlawanan ini, kami membuktikan sesuatu iaitu fokus 100 peratus dengan menjaringkan lebih banyak gol dengan memanfaatkan setiap peluang. Apapun saya percaya masih terdapat ruang untuk penambahbaikan untuk peningkatan, yang penting adalah membiasakan diri bermain secara bersama.

“Kami akan menyesuaikan diri dengan lebih baik apabila lebih kerap beraksi dalam banyak permainan. Itulah yang penting. Kami berhak mendapat tiga mata hari ini kerana matlamat pada perlawanan ini adalah mencari lebih banyak gol,” katanya.

Pada perlawanan itu, Roberto Firmino tampil meledak dua, Marquinhos dan Philippe Coutinho masing-masing menjaringkan satu gol manakala satu lagi gol hasil jaringan sendiri pemain pelawat Jose Maria Carrasco.

Brazil akan berkunjung ke Lima pada Selasa ini bagi berdepan Peru manakala Bolivia akan menanti kunjungan Argentina yang membuka kempen dengan langkah kanan apabila menewaskan Ecuador 1-0 pada Khamis.

Artikel Berkaitan: