Pesara guru angau cinta siber rugi RM480,000

Ahmad Azizul Mohamed
Ahmad Azizul Mohamed
A
A
A

KOTA BHARU - Angau dilamun cinta jejaka tampan di laman Facebook menjerat seorang pesara guru dari Gua Musang hingga kerugian RM480,000 membabitkan taktik penipuan sindiket Love Scam.

Mangsa yang berusia lewat 50-an itu berkenalan di alam maya dengan suspek yang mengaku menetap di United Kingdom serta bekerja dalam industri minyak dan gas di negara itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) negeri, Superintendan Ahmad Azizul Mohamed berkata, mereka berkenalan pada bulan lalu dan tidak lama selepas itu suspek menyatakan ingin menghantar wang perbelanjaan berjumlah RM650,000 kepada ibu tunggal berkenaan.

Katanya, pada hujung bulan lalu, mangsa menerima panggilan daripada seorang wanita yang mengaku bertugas di Bank Negara Malaysia (BNM) menyatakan bahawa rakan Facebook mangsa memindahkan sejumlah wang ke BNM untuk diproses.

“Mangsa diminta membuat bayaran dengan alasan kononnya bagi mengelak wang tersebut dibekukan.

“Dalam tempoh kurang daripada dua minggu, mangsa membuat beberapa transaksi pindahan wang berjumlah lebih RM480,000 ke satu akaun bank milik wanita yang menyamar sebagai pegawai BNM tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa bagaimanapun mengesyaki ditipu dan membuat laporan polis di Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) Daerah Gua Musang semalam.

“Suspek dipercayai terbabit dengan sindiket Love Scam yang ligat menjalankan kegiatan penipuan melalui laman siber khususnya Facebook.

Artikel Berkaitan:

“Facebook suspek sengaja memaparkan gambar-gambar profil individu berkerjaya dipercayai foto orang lain yang berwajah tampan atau cantik untuk meyakinkan mangsa sebelum memperdaya dan menjerat mereka sehingga kerugian ratusan ribu ringgit,” katanya.

Mengulas lanjut, kes Love Scam atau Parcel Scam tersebut melibatkan jumlah kerugian terbesar direkodkan di kontinjen Kelantan pada tahun ini.

“Love atau Parcel Scam adalah antara kes jenayah siber yang kerap dilaporkan dan Polis Kelantan ingin menasihatkan orang ramai supaya jangan mudah percaya mahu pun mengikut arahan diberikan oleh individu-individu yang hanya berhubung secara dalam talian.

“Dapatkan nasihat daripada pihak berkuasa sekiranya mendapat panggilan meragukan terutama daripada mereka yang meminta bayaran, maklumat kewangan atau akaun bank,” katanya.

Beliau berkata, kes penipuan Love Scam melibatkan penghantaran wang perbelanjaan itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara minimum setahun manakala maksimum 10 tahun dan sebat serta denda,” katanya.