MPT Bersatu saran PN tidak bertanding PRK Batu Sapi

Eddin Syazlee Shith
Eddin Syazlee Shith
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Eddin Syazlee Shith menyarankan agar pucuk pimpinan Perikatan Nasional (PN) mengambil pendirian untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi, Sabah.

Beliau berkata, langkah itu perlu bagi membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19) yang semakin membimbangkan.

"Keputusan tidak bertanding itu wajar diambil atas faktor mengelakkan berlakunya situasi dan suasana tidak terkawal ketika proses berkempen seterusnya dalam membendung penularan pandemik Covid-19," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

PRK Parlimen Batu Sapi, Sarawak perlu diadakan selepas kematian Ahli Parlimennya, Liew Vui Keong 2 Oktober lalu.

Dalam masa sama, beliau turut menggesa semua pihak melakukan gencatan politik dan pemimpin-pemimpin politik juga harus menangguhkan sebarang langkah politik yang mahu dilakukan.

Katanya, ini termasuk langkah terbaharu yang mahu dilakukan oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Difahamkan Anwar mahu memulakan langkah politik beliau, saya gesa supaya menangguhkan dahulu sebarang hajat politik berkenaan sehingga kes Covid-19 dapat ditangani sebaik mungkin," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: BN tidak bertanding di PRK Batu Sapi

Artikel Berkaitan:

PCS juga tidak bertanding di PRK Batu Sapi

Muafakat Nasional, GRS belum bincang isu tangguh PRK Batu Sapi