X

Kindly register in order to view this article
!

Bersatu, UMNO baik-baik sahaja

Ahmad Faizal ketika ditemui pemberita hari ini.
A
A

IPOH - Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menafikan wujud situasi tegang antara parti itu dengan UMNO yang didakwa bakal menjejaskan sokongan terhadap kerajaan sekarang.

Menurutnya, baik di peringkat Persekutuan mahupun pentadbiran negeri, hubungan mereka masih kukuh dan berjalan dengan sangat baik sebagai sebuah kerajaan di bawah gabungan Perikatan Nasional (PN).

"UMNO adalah rakan kami dalam kerajaan PN di peringkat Pusat dan kerajaan Perak dan saya dapati hubungan kami berjalan dengan baik.

"Semalam ketika mesyuarat Exco, kami bersemangat untuk terus membantu rakyat dalam menangani isu-isu koronavirus (Covid-19) dan sebagainya.

"Jadi, saya tak nampaklah ada masalah, setakat ini yang saya pasti, kerajaan yang mempunyai majoriti sekarang masih menjalankan kerja seperti biasa," katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa mendapat perkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah, 13 Oktober ini.

Dalam satu kenyataan semalam, Anwar yang juga Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya seperti dinyatakan ketika sidang medianya pada 23 September lalu.

Ahmad Faizal berkata, sekiranya Ahli Parlimen Port Dickson itu mendakwa mempunyai majoriti kukuh dan meyakinkan, maka perkara itu perlulah dibuktikan di Parlimen dan dihadapan Yang di-Pertuan Agong.

Ahmad Faizal (dua dari kanan) hadir menyaksikan majlis memeterai kerjasama antara Digital Perak dengan Kiplepay.
Ahmad Faizal (dua dari kanan) hadir menyaksikan majlis memeterai kerjasama antara Digital Perak dengan Kiplepay.

"Eloklah beliau dapat perkenan menghadap, saya pun tidak pasti apa acaranya tetapi apabila seseorang Ahli Parlimen itu dipanggil menghadap, ia tentunya perkara yang baiklah," katanya.

Menteri Besar Perak itu juga berkata, rakyat ketika ini tidak mahu terus dimomokkan dengan permainan politik yang akhirnya tidak mendatangkan kestabilan pada negara.

Katanya, apa yang diharapkan rakyat adalah sebuah kestabilan agar kerajaan dapat terus memberikan apa juga bantuan lebih-lebih lagi dalam menghadapi situasi sukar disebabkan peningkatan kes positif Covid-19.

"Kalau ada pihak-pihak yang lebih berminat nak berpolitik sepanjang masa, serahkan kepada mereka kita jangan terikut kerana apa juga usaha untuk tidak menstabilkan negara ini adalah usaha yang akan merosakkan negara.

"Musuh kita sekarang adalah Covid-19 yang boleh membunuh, itu yang perlu diselesaikan dahulu dan sepatutnya semua pihak termasuk Anwar sendiri bersama-sama mencari jalan memberi sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membantu rakyat...selepas itu nak politik pun politiklah," katanya.

Terdahulu, Ahmad Faizal hadir menyaksikan majlis memeterai kerjasama antara Digital Perak dengan Kiplepay dalam solusi gerbang bayaran bagi mewujudkan masyarakat tanpa bayaran.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!