MFL pinda semula jadual Liga-M

Ab Ghani Hassan
Ab Ghani Hassan
A
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) mengambil langkah proaktif menyusun kembali jadual perlawanan Liga Malaysia (Liga-M) susulan peningkatan kes pandemik Covid-19 di negara ini sejak beberapa hari lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan memaklumkan, beberapa aksi CIMB Liga Super akan mengalami pindaan tarikh khasnya melibatkan pertemuan Sabah menentang UiTM FC di Stadium Likas selepas Kota Kinabalu diisytihar zon merah Covid-19.

“Venue perlawanan Sabah menentang UiTM FC pada 10 Oktober di Stadium Likas akan dimaklumkan kelak berikutan Kota Kinabalu diisytihar zon merah menyebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Sekretariat MFL sedang mengadakan perbincangan dengan kedua-dua pasukan bagi penjadualan semula dan tarikh itu akan dimaklumkan dalam tempoh terdekat sebelum majlis undian TM Piala Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Beliau berkata, jadual perlawanan dua aksi penting - Perak menentang Kedah di Stadium Perak, Ipoh dan Terengganu FC (TFC) bertemu Pahang di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak turut diubah.

“Perubahan jadual ini dibuat berdasarkan faktor perebutan tempat kedua Liga Super dan perlawanan menentukan kedudukan bagi undian Piala Malaysia. Kedua-dua perlawanan itu yang sebelum ini dijadualkan Sabtu ini telah dipinda pada Ahad,” ujarnya.

Pada masa sama, Ab Ghani memaklumkan bahawa pindaan jadual perlawanan CIMB Liga Super itu akan menyebabkan perubahan tarikh sepak mula kempen TM Piala Malaysia.

Susulan pindaan jadual itu menyaksikan undian TM Piala Malaysia yang sebelum ini diadakan pada 12 Oktober ditunda pada 19 Oktober sebelum kejohanan tertua di Asia Tenggara itu membuka tiranyai pada 25 dan 26 Oktober ini berbanding jadual asal pada 16 hingga 18 Oktober.

Artikel Berkaitan: