Buruh tak mengaku halang tugas kakitangan kesihatan

Tertuduh mengaku tidak salah menggunakan kekerasan dengan enggan memberi kerjasama semasa kakitangan kesihatan menjalankan tugas pematuhan SOP dalam tempoh PKPB di tempat awam.
Tertuduh mengaku tidak salah menggunakan kekerasan dengan enggan memberi kerjasama semasa kakitangan kesihatan menjalankan tugas pematuhan SOP dalam tempoh PKPB di tempat awam.
A
A
A

MARANG - Seorang buruh dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menggunakan kekerasan dengan enggan memberi kerjasama semasa kakitangan kesihatan menjalankan tugas pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di tempat awam.

Tertuduh, Amran Mohamed, 46, dari Kampung Jeneris, Kuala Berang Hulu Terengganu mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas pertuduhan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipannya di kedai makan Kak Sal Paya Besar Kuala Berang Hulu Terengganu lebih kurang jam 9 pagi pada 5 Oktober lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Othman Ibrahim di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.

Sejurus pengakuan tidak salah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 2 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk lantikan peguam dan serahan dokumen.

Mahkamah juga membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin dan meletakkan syarat tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa dalam apa saja bentuk komunikasi.

Dalam kejadian itu, tertuduh yang sedang menghisap rokok di dalam kedai makan berkenaan difahamkan ditegur oleh mangsa yang sedang menjalankan tugas pematuhan SOP PKPB di tempat awam.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh yang tidak berpuas hati ditegur itu terus bertindak menumbuk mangsa sehingga mendatangkan kecederaan di beberapa bahagian anggota badannya.

Akibat kesalahannya yang merokok di kawasan larangan merokok iaitu di kedai makan juga, dia turut dikenakan kompaun melalui Notis Memerintahkan Kehadiran di Mahkamah (Notis Di Bawah Seksyen 32B) kerana merokok di tempat larangan merokok mengikut Peraturan 11 (1)(d).