Tiada banjir besar berlaku di Kelantan tahun ini

Berdasarkan pemerhatian MetMalaysia, setakat ini tidak ada menunjukkan berlaku keadaan lembap yang luar biasa pada hujung tahun ini. Foro 123RDF
Berdasarkan pemerhatian MetMalaysia, setakat ini tidak ada menunjukkan berlaku keadaan lembap yang luar biasa pada hujung tahun ini. Foro 123RDF
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan tiada kejadian banjir besar sebagaimana tragedi 'bah kuning 2014', yang akan melanda Kelantan mahupun negeri lain, demikian menurut Ketua Pengarahnya, Jailan Simon.

Beliau berkata, keadaan cuaca hujan lebat serta ribut petir yang dialami beberapa kawasan sehingga berlaku banjir seperti di Sabah baru-baru ini disebabkan oleh fenomena La Nina yang lemah yang berlaku semasa fasa peralihan monsun ketika ini.

“Semasa La Nina yang lemah, kesannya tidak signifikan kepada negara kita dan berdasarkan rekod yang MetMalaysia ada, kita tidak menjangkakan kejadian ekstrem atau banjir besar berlaku pada peralihan monsun atau Monsun Timur Laut kali ini.

“Banjir besar semasa 2014 berlaku semasa fenomena El Nino lemah dan begitu juga banjir yang berlaku pada 2007 di Johor. Oleh itu, semasa La Nina ini, keadaan biasa sahaja cuma pada peringkat awal banyak taburan hujan.

“Malah, daripada ramalan jangka sederhana bermusim yang dikeluarkan pusat iklim di seluruh dunia dan juga berdasarkan pemerhatian MetMalaysia, setakat ini, tidak ada menunjukkan berlaku keadaan lembap yang luar biasa pada hujung tahun ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelasnya, peralihan monsun Barat Daya kepada Timur Laut telah bermula 23 September lepas dan dijangka berakhir awal November yang boleh menyebabkan hujan lebat serta ribut petir terutama pada sebelah petang dan awal malam.

“Kadang-kala ia juga boleh mengakibatkan banjir kilat di negeri-negeri pantai barat dan pedalaman Semenanjung, kawasan pedalaman serta pantai barat di Sabah,” katanya menambah kebiasaannya Sarawak akan mengalami banjir sama ada pada Januari atau Februari.

Jailan berkata, walaupun MetMalaysia tidak menjangkakan musim tengkujuh yang ‘luar biasa’, beliau menasihati agar seluruh rakyat sentiasa bersedia bagi mengelakkan perkara tidak diingini.

Artikel Berkaitan:

“Simpan barangan berharga dan dokumen-dokumen penting di ruang yang selamat bagi mengelakkan ia rosak sekiranya berlaku banjir,” katanya.

Beliau berkata MetMalaysia dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) juga bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan.- Bernama