Polis cari individu buat pusingan U sebabkan kemalangan

Rakaman video tular di media sosial menunjukkan sebuah kereta yang membuat pusingan U di Jalan Suadamai, Bandar Tun Hussein Onn, Kajang menyebabkan sebuah motosikal melanggar kenderaan berkenaan kelmarin.
Rakaman video tular di media sosial menunjukkan sebuah kereta yang membuat pusingan U di Jalan Suadamai, Bandar Tun Hussein Onn, Kajang menyebabkan sebuah motosikal melanggar kenderaan berkenaan kelmarin.
A
A
A

KAJANG - Kecuaian seorang pemandu kereta Myvi membuat pusingan U di Jalan Suadamai, Bandar Tun Hussein Onn di sini kelmarin menyebabkan dua penunggang motosikal cedera.

Kejadian pada jam 5.30 petang itu dipercayai berlaku apabila pemandu kereta membuat pusingan U di kawasan tidak dibenarkan sebelum dirempuh sebuah motosikal.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, tiada laporan yang dibuat kedua-dua pihak pada hari kejadian.

Bagaimanapun katanya, salah seorang penunggang motosikal terbabit membuat laporan pada keesokan harinya.

"Siasatan mendapati, kejadian berlaku ketika motosikal ditunggang dua lelaki terbabit dalam perjalanan dari arah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tun Hussein Onn melalui Jalan Suadamai.

“Sebaik tiba di lokasi, kereta terbabit membuat pusingan U dan menyebabkan kenderaan berkenaan dilanggar mangsa. Kemalangan menyebabkan pembonceng motosikal mengalami kecederaan dalaman manakala penunggang pula hanya cedera ringan dan dirawat di Hospital Kajang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pemandu kereta terbabit sudah dikenal pasti dan usaha mengesan individu berkenaan sedang dijalankan bagi membantu kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor G Dinesh di talian 03-89114222 untuk membantu siasatan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, satu video berdurasi 31 saat memaparkan pemandu kereta dilihat terus beredar dari lokasi sejurus selepas kejadian.