Wisma Darul Iman, YPU ditutup sementara

Kelihatan kakitangan Wisma Darul Iman, Terengganu pulang setelah diarahkan untuk bekerja dari rumah bermula hari ini.
Kelihatan kakitangan Wisma Darul Iman, Terengganu pulang setelah diarahkan untuk bekerja dari rumah bermula hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Bangunan Wisma Darul Iman di sini ditutup sementara selama tiga hari bagi proses disinfeksi sehingga Khamis ini.

Susulan itu, lebih 500 kakitangan diminta bekerja dari rumah kecuali kira-kira 100 orang yang bertugas di bahagian kritikal seperti bahagian keselamatan dan pengurusan untuk memastikan kelancaran operasi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Mohd Zahari Md Azahar berkata, penutupan sementara itu dibuat susulan ada pegawai di wisma berkenaan yang mempunyai kontak rapat dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang telah disahkan positif koronavirus (Covid-19).

"Semua ketua jabatan, ketua bahagian dan ketua unit bertanggungjawab mengenalpasti keperluan pegawai dan kakitangan yang dikehendaki berada di pejabat dalam tempoh ini.

Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.
Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.

"Kesemua kakitangan juga hendaklah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sepanjang tempoh tersebut.

"Orang ramai yang mempunyai urusan di Wisma Darul Iman masih dibenarkan untuk berurusan tetapi mereka dinasihatkan untuk membuat temu janji terlebih dahulu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri Terengganu berkata, semua kakitangan juga diminta untuk sentiasa berada di rumah masing-masing semasa tempoh bekerja dari rumah ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) juga akan menghentikan sementara pengoperasiannya, susulan peningkatan kes koronavirus (Covid-19).

Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat sempat melambaikan tangan kepada lensa kamera Sinar Harian sewaktu pulang, setelah notis arahan bekerja dari rumah dikeluarkan hari ini.
Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat sempat melambaikan tangan kepada lensa kamera Sinar Harian sewaktu pulang, setelah notis arahan bekerja dari rumah dikeluarkan hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Farhan Abdul Wahab berkata, penutupan sementara itu dibuat selama tiga hari bermula 6 Oktober, bagi membolehkan kerja-kerja sanitasi bagi membendung penyebaran Covid-19.

"Inisiatif 'work from home' telah dilaksanakan oleh pengurusan YPU dan ia adalah tertakluk kepada semua pegawai dan kakitangan di YPU.

"Beberapa program yang telah dirancang akan ditawakufkan (tangguh) buat sementara waktu, manakala program yang boleh dilaksanakan secara dalam talian akan dilaksanakan seperti biasa.

"Kita amat prihatin dengan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan semua, sama ada pegawai dan kakitangan YPU mahupun pelanggan yang hadir untuk mendapatkan perkhidmatan atau khidmat nasihat di YPU," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!