Kedah nyalakan harapan ke Piala AFC

 Antara aksi menarik pertemuan Kedah, Melaka United. Foto: Melaka United Football Association
Antara aksi menarik pertemuan Kedah, Melaka United. Foto: Melaka United Football Association
A
A
A

KEDAH mengekalkan harapan untuk beraksi di Piala AFC musim depan selepas mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Melaka United dalam aksi CIMB Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur Cheras di sini malam tadi.

Turun dengan status tuan rumah, gol tunggal skuad Hijau Kuning dijaringkan Muhammad Shakir Hamzah pada minit ke-19 yang menanduk masuk tendangan sudut pemain import dari Ivory Coast, Kipre Tchetche.

Kedua-dua pasukan saling melakukan serangan bertali arus sehingga akhir perlawanan, namun tiada sebarang jaringan dihasilkan sehingga wisel penamat.

Kemenangan itu menyaksikan Kedah melonjak ke tempat kedua liga dengan 19 mata - tujuh mata ketinggalan di belakang juara Johor Darul Ta’zim (JDT) diikuti Perak (18) di tempat ketiga dan Terengganu (16).

Kedah dan Perak bakal meneruskan perebutan slot Piala AFC sehingga aksi terakhir liga, apabila kedua-dua pasukan bertembung di Stadium Perak Sabtu ini.

JDT telah pun mengesahkan slot ke Liga Juara-Juara AFC 2021 selepas meraih kejuaraan CIMB Liga Super ketujuh berturut-turut pada Jumaat lepas.

Artikel Berkaitan: