Jurutol disimbah air minuman, KESAS buat laporan polis

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pihak Lebuhraya Shah Alam (KESAS) membuat satu laporan polis berhubung kejadian seorang jurutol yang bertugas di Lebuhraya Shah Alam (LSA) disimbah air minuman berbungkus oleh seorang lelaki seperti yang tular di media sosial hari ini.

KESAS dalam satu kenyataan memaklumkan siasatan mendapati kejadian berlaku selepas seorang individu yang melalui satu daripada lorong tol tidak dibenarkan membuat urusan tambah nilai di tempat tersebut.

"Individu berkenaan tidak berpuas hati dengan jurutol terlibat yang tidak membenarkan transaksi dilakukan di lorong tempat dia (suspek) lalui, di mana sebenarnya pihak KESAS telah menyediakan lorong khas untuk urusan tambah nilai berkenaan.

"Susulan kejadian itu, KESAS membuat laporan polis bagi membuat siasatan berhubung kejadian itu. Jurutol yang terlibat turut direhatkan daripada bertugas,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, tular satu rakaman kamera litar tertutup tol berkenaan memaparkan seorang individu menaiki kereta jenis Perodua Bezza yang bertindak keluar dari kenderaannya sebelum menyimbah air minuman berbungkus kepada jurutol di LSA. - Bernama

Artikel Berkaitan: