Bonet pun kena kebas!

Bonet hadapan kereta Proton Wira milik Mohd Amar Affzan yang hilang dilarikan pencuri pagi tadi.
Bonet hadapan kereta Proton Wira milik Mohd Amar Affzan yang hilang dilarikan pencuri pagi tadi.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Seorang peniaga terkejut apabila mendapati bonet hadapan dan bateri kereta Proton Wira miliknya lesap dikebas pencuri di jalan berhampiran bulatan Ladang di sini hari ini.

Mohd Amar Affzan Mohd Fazli, 27, berkata, kehilangan itu disedarinya pada jam 8 pagi tadi ketika ingin keluar menghantar makanan kepada ibunya di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Menurutnya, sebelum kejadian dia yang menginap di sebuah hotel berhampiran meletak kenderaan itu di depan kedai kira-kira jam 12 malam selepas menghantar ibu dan adiknya ke HSNZ.

“Adik saya dimasukkan ke HSNZ semalam kerana demam panas dan ibu yang jaga, saya balik ke hotel sekitar jam 12 malam. Disebabkan 'parking' depan hotel tiada kosong, saya parkir kereta jauh sikit.

“Ketika mahu keluar ke hospital pagi tadi, masa buka bonet belakang saya rasa pelik kenapa orang pandang saya semacam. Bila buka pintu kereta baru perasan bonet depan dah hilang kena curi.

“Selain bonet depan, bateri kereta pun hilang dilarikan,” katanya yang sudah menggunakan kereta itu selama enam tahun kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Berdasarkan rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang diperoleh daripada kedai berhampiran, kecurian itu dilakukan dua lelaki sekitar jam 4.53 pagi dalam tempoh empat minit.

Menurut Mohd Amar Affzan, dia percaya pencuri bertindak melarikan bonet hadapan itu selepas menyedari komponen tersebut bernilai.

Artikel Berkaitan:

“Bonet ini merupakan bonet kereta Evo terpakai yang saya beli dengan harga RM500 sejak dua tahun lalu dan sekarang nilai pasarannya lebih tinggi, boleh cecah hingga RM1,500,” katanya.

Berikutan kejadian itu, dia yang tinggal di Ajil, Hulu Terengganu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu.