Cadang tubuh Tribunal Khas pecat Peguam Negara

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peguam, Mohd Khairul Azam Abd Aziz akan menulis surat rasmi mencadangkan penubuhan Tribunal Khas untuk menyiasat salah laku Peguam Negara, Tommy Thomas dan mencadangkan pemecatan beliau.

Menurutnya, surat tersebut akan dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Peguam Negara telah melakukan dua kesalahan besar terhadap perdana menteri dan Yang di-Pertuan Agong.

“Semua ini tidak akan didedahkan oleh Bersih atau oleh Peguam Negara.

“Tetapi saya yang mempunyai maklumat ini ‘berkewajiban’ dari segi profesion dan agama saya untuk membuat pendedahan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan tersebut, beliau mendakwa Peguam Negara menyembunyikan maklumat daripada perdana menteri bahawa lima anggota Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menghantar surat peletakan jawatan pada Oktober 2018.

Menurutnya, Bersih 2.0 menulis surat bertarikh 14 Ogos 2018 kepada perdana menteri memohon kerajaan menubuhkan tribunal bagi menyiasat salah laku anggota SPR yang dikatakan membantu untuk kemenangan BN dalam PRU14.

Jelasnya, Dr Mahathir kemudiannya meminitkan surat tersebut kepada Peguam Negara pada 28 Ogos 2018.

Artikel Berkaitan:

“Sekitar 17, 18 Oktober dan 27 November 2018, semua baki enam anggota SPR telah menghantar surat peletakan jawatan mereka semuanya berkuatkuasa 1 Januari 2019 kepada Yang di-Pertuan Agong (Sultan Muhammad V).

“Baginda telah menandatangani perkenan kepada peletakan jawatan tersebut pada 26 Oktober dan 29 November 2018.

“Kemudian pada 29 November 2018, perdana menteri telah menghantar representasi kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Ia adalah untuk memohon perkenan Baginda untuk menubuhkan Tribunal ini mengikut Perkara 125 (3) Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.

Begitupun, katanya, Peguam Negara telah menyembunyikan maklumat tersebut malah mustahil beliau tidak tahu bahawa seseorang yang telah meletakkan jawatan tidak lagi boleh dipecat.

Mengulas lanjut, sekiranya maklumat tersebut tidak disembunyikan, sudah pasti Dr Mahathir tidak akan menandatangani surat kepada Yang di-Pertuan Agong bertarikh 29 November itu.

“Peguam Negara sekali lagi melakukan kesalahan apabila menyembunyikan maklumat ini dari pengetahuan Yang di-Pertuan Agong yang memberi perkenan penubuhan tribunal ini pada 5 Disember 2018.

“Jika perkara itu dimaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong, pasti baginda tidak perlu menurunkan tandatangan terhadap permohonan perdana menteri itu,” katanya.