Padah pinjam wang tak wujud, wanita rugi lebih RM70,000

Gambar kecil:Omar Bakhtiar Yaacob
Gambar kecil:Omar Bakhtiar Yaacob
A
A
A

KUALA KANGSAR - Hasrat seorang wanita meluaskan perniagaan kedai makan miliknya dengan melakukan pinjaman akhirnya membawa padah selepas ditipu lebih RM70,000 oleh sindiket pinjaman wang tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, wanita berkenaan berhasrat membuat pinjaman berjumlah RM10,000 selepas terbaca iklan di laman sosial Facebook Ogos lalu.

“Mangsa sendiri menelefon sindiket untuk buat pinjaman tersebut. Bermula daripada 21 Ogos, mangsa telah membuat 47 transaksi kepada 16 nombor akaun berlainan dan transaksi terakhir adalah pada 23 September lalu dengan jumlah terkumpul RM72,756.

“Sepanjang tempoh tersebut, mangsa diarahkan untuk membayar pelbagai proses antaranya untuk pembukaan akaun, bayaran cukai dan sebagainya sebelum mendapatkan wang itu,” katanya

pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar, di sini hari ini.

Menurutnya, kes ini wajar dijadikan pengajaran kepada masyarakat supaya tidak termakan dengan janji yang ditawarkan di laman sosial.

“Seperti kes ini, mangsa telah meminjam wang daripada saudara mara untuk membayar khidmat bagi mendapatkan wang tidak wujud itu sebelum ditipu.

“Bagaimanapun, siasatan diteruskan bagi mengesan suspek serta pemilik akaun. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel Berkaitan: