Tujuh produk mengandungi bahan racun berjadual disenarai

Gambar hiasan
A
A

PUTRAJAYA - Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyenaraikan tujuh produk kosmetik yang dikesan mempunyai bahan racun berjadual di dalam produk berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, orang awam perlu mengelak daripada membeli dan menggunakan produk berkenaan,

Menurutnya, produk mengandungi ‘hydroquinone’ dan ‘tretinoin’ adalah produk farmaseutikal yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional.

“Produk kosmetik yang dicampur palsu dengan hydroquinone lazimnya dipasarkan untuk tujuan mencerahkan kulit, merawat masalah jeragat dan kulit tidak sekata.

“Penggunaan hydroquinone tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini malah kulit menjadi hipersensitif.

“Kesan dari penggunaan hydroquinone boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV merbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, produk kosmetik dicampur dengan tretinoin pula biasanya dipromosikan untuk tujuan merawat masalah jerawat dan membantu mengurangkan kedutan.

Jelasnya, penggunaan bahan tersebut tanpa pengawasan boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya.

“Penjual dan pengedar produk-produk kosmetik ini diberi amaran untuk menghentikan penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik tersebut dengan serta-merta.

“Penjual adalah diingatkan bahawa penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” ujarnya.

Tambah Dr Noor Hisham, orang awam yang sedang menggunakan produk kosmetik ini dinasihatkan menghentikan segera penggunaannya dan mendapatkan nasihat profesional jika mengalami ketidakselesaan atau kesan sampingan.

“Sebarang pertanyaan berkaitan produk kosmetik boleh diemel kepada [email protected]

“Pengguna dan orang ramai adalah dinasihatkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA https://www.npra.gov.my,” katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia