Polis terus siasat kes rebut kupon

Gambar yang sempat dirakam sebelum kaunter serahan kupon dibuka.
Gambar yang sempat dirakam sebelum kaunter serahan kupon dibuka.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis telah merakam keterangan penganjur Program Kebajikan Tahun Baharu Cina sebuah Kompleks Perniagaan Bersepadu (ICC) Pudu di sini bagi membantu siasatan berhubung insiden rebut kupon makanan percuma hingga menyebabkan kematian dua warga emas semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharuddin Abdullah berkata, siasatan berhubung insiden tersebut diteruskan.

"Penganjur telah membuat laporan polis dan dirakam percakapannya hari ini. Saksi bebas juga turut dipanggil bagi membantu siasatan," katanya.

Sinar Harian semalam melaporkan dua warga emas Ah Poh, 85, dan Law Lon Nang, 78 yang terbaring dilantai kompleks disahkan meninggal dunia dalam insiden berasak-asak dengan pengunjung lain sewaktu program penyerahan kupon makanan percuma yang boleh digunakan pada 11 Februari nanti.

Beberapa warga emas turut dilaporkan sesak nafas dan pengsan dihantar ke hospital berhampiran untuk rawatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua warga emas maut gara-gara kupon makanan percuma

Sementara itu , Pengurus ICC, Chin Huey Yee simpati dengan insiden tersebut dan bersedia menyalurkan bantuan serta sumbangan terhadap keluarga mangsa bagi meringankan beban mereka.

"Kami sedih dengan insiden dan tidak menjangkakan program kebajikan yang mahu meraikan warga emas sempena Tahun Baharu Cina bertukar tragedi susulan sambutan menggalakkan daripada pengunjung.

Artikel Berkaitan:

"Ia adalah program tahun kedua dianjurkan oleh sekumpulan penjaja mengehadkan bilangan kupon hanya untuk 200 orang tapi yang hadir dianggarkan 400 orang," katanya.

Jelasnya, orang awam mula berkumpul seawal jam 5 pagi bagi mendapatkan kupon percuma tersebut.

"Kami telah membuat persiapan awal termasuk penyusunan kaunter dan pemasangan tali pengadang namun jumlahnya yang terlalau ramai menyebabkan keadaan tidak terkawal.

"Ia tidak menghalang kami untuk menggalakkan orang luar meneruskan program kebajikan cuma pada masa akan datang pengurusannya akan ditambah baik bagi mengelak insiden berulang," katanya.