TMST2020 dianjur ikut norma baharu, peserta perlu patuhi SOP

Pantai Seri Lalang Laut yang menjadi lokasi pertandingan TMST2020.
Pantai Seri Lalang Laut yang menjadi lokasi pertandingan TMST2020.
A
A
A

MERSING - Tourism Malaysia Surfcasting Tour 2020 (TMST2020) yang tertangguh akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu akan bersambung semula di Pantai Seri Lalang Laut di sini bermula 3 Oktober ini.

Pertandingan anjuran bersama Tourism Malaysia dan Wakjali Event Management dengan kerjasama Tourism Johor dan sokongan Majlis Daerah Mersing itu mendapat kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

TMST2020 menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM75,000 dengan juara akan membawa pulang wang tunai RM35,000, naib juara RM10,000 dan ketiga RM5,000.

Pemenang keempat hingga ke-80 juga akan menerima hadiah wang tunai berserta hadiah iringan.Yang Dipertua MDM, Norazmi Amir Hamzah berkata, TMST2020 mampu meningkatkan imej Mersing sebagai daerah pelancongan sekali gus menarik lebih ramai pengunjung untuk datang ke Mersing.

“MDM berusaha mewujudkan daerah Mersing sebagai lokasi pelancongan lestari, justeru satu gerak kerja dinamakan Sustainable Travel Mersing Destination Coordination Group, kolaborasi bersama MDM, Jabatan Perikanan dan badan-badan NGO telah diwujudkan bagi merangka pelbagai rancangan dan inisiatif untuk merancakkan sektor pelancongan Mersing.

“Program ini bukan sahaja bermatlamat meningkatkan jumlah pelancong ke Mersing, tetapi juga memastikan alam semula jadi terus kekal terpelihara demi kelangsungan generasi akan datang,” katanya.

Menurutnya, beliau menggalakkan acara seperti itu dijalankan di Mersing sekali gus membantu dalam merancakkan ekonomi penduduk setempat dengan kehadiran ramai pemancing dari seluruh negara.

“Paling utama, berikutan negara masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), peserta diwajibkan mematuhi SOP yang ditetapkan khususnya pemakaian pelitup muka dan penjarakkan fizikal dan pihak penganjur perlu memastikan semua peserta mematuhi SOP sepanjang pelaksanaan TMST2020,’’ katanya.

Artikel Berkaitan:

Pertandingan dijadualkan bermula jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari dan bagi mengelak peserta berkumpul semasa menunggu keputusan, pihak penganjur menetapkan untuk tidak mempamerkan hasil tangkapan, sebaliknya keputusan pertandingan akan dimuat naik dalam media sosial untuk makluman peserta.

Sebarang pertanyaan mengenai acara itu, boleh berhubung dengan pihak penganjur di talian 019-6203040, 012-2141401 atau 012-6823479.