X

Kindly register in order to view this article
!

Sesi balai rakyat peluang usahawan manfaat dana

Mohd Redzuan ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pasar Besar Alor Gajah di sini hari ini.
A
A

ALOR GAJAH - Agensi dan jabatan kerajaan disarankan menganjurkan sesi balai rakyat atau 'townhall' bersama golongan usahawan bagi memastikan dana yang disalurkan dapat dimanfaatkan golongan itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, usaha tersebut perlu disegarakan bagi memberi penerangan lebih lanjut dan membuka peluang dalam membantu rakyat terutama usahawan yang terkesan dengan pandemik koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, pelbagai dana yang masih tersedia dan boleh dipohon oleh semua usahawan bumiputera seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) bagi memajukan perniagaan.

"Dana itu banyak tapi tidak dipohon. Jadi adalah penting supaya kita buat sesi balai rakyat atau townhall, panggil pegawai-pegawai terlibat dan jelaskan cara permohonan dan sebagainya.

"Saya juga menyarankan semua usahawan terutama bumiputera, usahawan kecil sederhana yang masih mengalami kesukaran jumpa supaya menghubungi Mara, jumpa PUNB, jumpa Teraju (Unit Teraju Agenda Bumiputera), jumpa Kementerian Pembangunan Usahawan.

"Agensi-agensi itu dipertanggungjawabkan untuk menguruskan dan ada data-data tertentu," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pasar Besar Alor Gajah di sini hari ini.

Terdahulu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, dana pembiayaan usahawan bumiputera yang disalurkan kerajaan menerusi PUNB dan Mara sebanyak RM500 juta masih banyak berbaki dan belum dimohon.

Dana berkenaan diumumkan kerajaan menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) pada Jun lalu, dengan RM200 juta ditawarkan melalui PUNB, manakala sejumlah RM300 juta lagi disalurkan menerusi Mara.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!