X

Kindly register in order to view this article
!

Mahadi dilantik Datuk Bandar Kuala Lumpur ke-13

Mahadi Che Ngah
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Pengarah Eksekutif (Perancangan) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Mahadi Che Ngah dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa hari ini.

Beliau menggantikan Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan yang menamatkan perkhidmatannya semalam setelah berkhidmat selama dua tahun.

Pelantikan Mahadi sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang ke-13 mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengikut Bahagian II, Seksyen 4(2) Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.

Pelantikan beliau diumumkan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa pada satu sidang akhbar yang diadakan di Menara Seri Wilayah, Putrajaya hari ini.

Annuar berkata, tempoh perkhidmatan Mahadi selama 36 tahun di DBKL memberi kelebihan dalam aspek pengetahuan, kemahiran selain pengalaman yang mendalam berkaitan pengurusan bandar raya serta dasar-dasar perancangan Bandaraya Kuala Lumpur.

"Saya percaya dengan pengalaman luas serta daya kepimpinan yang dimiliki, beliau berupaya menerajui DBKL untuk terus cemerlang ke arah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai Wilayah Prihatin," katanya.

Mahadi memulakan kerjaya di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sebagai Pegawai Perancang Bandar dan Desa pada April 1983 dengan jawatan terakhir sebagai Pengarah Eksekutif (Perancangan) sebelum bersara wajib pada September 2019.

Beliau berkelulusan Ijazah pertama dalam bidang Perancangan Bandar dan Wilayah dari Universiti Teknologi Malaysia seterusnya melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam Pembangunan Bandar di University of Strathclyde, Glasgow.

Majlis Penyampaian Watikah akan diadakan pada Jumaat ini jam 10.30 pagi di DBKL.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!