X

Kindly register in order to view this article
!

Muhammad Sanusi berhasrat lepaskan jawatan KFA

Muhammad Sanusi Md Nor
A
A

ALOR SETAR - Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Muhammad Sanusi Md Nor berhasrat menyerahkan urusan pengendalian sukan itu kepada pihak yang lebih layak untuk memajukan bola sepak di negeri Kedah.

Bagaimanapun, Menteri Besar Kedah itu berkata, hasrat tersebut hanya akan diteruskan selepas beliau menyelesaikan pelbagai masalah dalaman KFA, termasuk tunggakan hutang berjumlah lebih RM10 juta.

Menurutnya, ramai tokoh berwibawa boleh dicalonkan selepas beliau melepaskan jawatan tertinggi KFA itu.

"Selepas saya selesaikan semua hutang KFA tinggalan pengurusan terdahulu, saya bercadang menyerahkan urusan bola sepak kepada mereka yang lebih layak memikulnya. Ada ramai tokoh yang layak untuk terajui KFA," katanya dalam satu kenyataan di laman sosial Facebook milik beliau hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, beliau akan terus menyokong pembangunan bola sepak negeri dan menjadi penyokong setia skuad Hijau Kuning.

Belia turut menyatakan pihaknya akan mempertimbangkan cadangan berkaitan logo baharu Darulaman FC (DFC) yang dikemukakan peminat Hijau Kuning selepas logo yang bakal diubah itu mendapat kritikan.

"Ramai peminat pasukan Kedah hantar lakaran dan minta pilih logo-logo yang dikemukakan. Insya-ALLAH akan dipertimbangkan," katanya.

Bagaimanapun, tegas beliau, buat masa ini Kedah perlu menyelesaikan keperluan pendaftaran kelab FC mengikut syarat-syarat ditentukan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

"KFA sentiasa menerima cadangan dan pandangan peminat, namun diharap ia tidak berlebihan.

"Apa jua cadangan dan pandangan sentiasa dialu-alukan," katanya.

Muhammad Sanusi berkata, logo Kedah sebelum ini beberapa kali pernah diubah dan setiap kali ia diubah, pelbagai kecaman diterima KFA.

"Bagi pandangan boleh, maki hamun ja tak boleh... ia mengurangkan pahala," katanya.

Penyokong bola sepak Kedah kecoh sejak semalam, apabila ramai kecewa dengan logo baharu DFC yang dianggap tidak menarik dan mahu ia ditukar pihak pengurusan KFA.

Logo berkenaan tular selepas sidang akhbar Muhammad Sanusi seusai mesyuarat Exco yang mengumumkan hal berkenaan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!